Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran yakin pilihan raya umum (PRU) ke 14 akan dilaksanakan pada hujung 2017.
Katanya, tanda-tanda tersebut semakin jelas apabila jentera kerajaan semakin kerap turun padang dan cekap menyelesaikan aduan rakyat.
“Saya percaya PRU14 pada tahun ini sebab saya nampak kerajaan sedang berusaha untuk membaiki-pulih jalan raya yang berlubang, menghantar majlis perbandaran untuk membersihkan longkang-longkang yang tersumbat serta tapak pasar pagi, membaiki lampu jalan dan sebagainya.
“Walaupun ini adalah perkara yang remeh, ia merupakan petunjuk penting bahawa PRU14 tidak lama lagi kerana aktiviti membaiki dan membersih biasanya dilakukan tiga bulan sebelum pilihan raya umum,” kata M. Manogaran kepada Suara pakatan daily.
Beliau yang bertanding kerusi parlimen Cameron Highlands pada PRU 13 menyeru agar Pakatan Harapan menyegerakan kempen besar-besaran ke seluruh negara dalam beberapa bulan berbaki untuk memperkenalkan gabungan itu kepada pengundi.
“Saya ingin menyeru Pakatan Harapan supaya bertindak dengan segera dan membuat persiapan untuk PRU14.
“Langkah untuk mengadakan perhimpunan dalam bulan September berkenaan dengan isu 1MDB didahului dengan ‘roadshow’ pada bulan Julai adalah langkah baik yang menunjukkan PH sudah bersedia untuk membawa isu tersebut ke kawasan luar bandar dan kampung supaya pengundi di kawasan-kawasan itu tidak ketinggalan zaman perihal maklumat berkenaan dengan 1MDB yang sedang hangat disiasat oleh DOJ di Amerika Syarikat,” ujar Manogaran.
Beliau berkata imej negara sudah tercemar di seluruh dunia akibat kebejatan pentadbiran PM Najib perlu dihebahkan kepada seluruh rakyat untuk mencipta mood menolak BN dan sekutunya dalam PRU 14.
“Kalau PH bertindak awal untuk mencelikkan minda pengundi mengenai isu 1MDB, Pakatan tentu akan mempunyai peluang lebih baik untuk menang PRU14.
“Semuanya terpulang kepada kerja keras gabungan PH. Ini juga bererti pihak musuh mungkin akan membuat serangan mengejut supaya masa tidak menyebelahi kita dan saya ramal PRU14 akan diadakan pada hari Ahad, 17 September 2017, iaitu sehari selepas cuti umum Hari Malaysia pada 16 September,” akhiri Manogaran.