Keputusan pilihan raya umum yang lalu membuktikan Umno hanya mampu meraih majoriti 3042 undi sahaja bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor dalam pertandingan tiga penjuru.
Semua momokan yang kerap dicanang oleh pemimpin Umno dan Pas khususnya bagi kawasan Parlimen Tasek Gelugor hanyalah omongan kosong semata-mata.
Apa yang mereka laung-laungkan adalah angan-angan yang tidak mungkin akan kesampaian sekiranya membuat perbandingan mengenai sokongan yang diterima semasa berada dalam pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang lalu.
Demikian diluahkan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Dua selama empat penggal, Datuk Jasmin Mohamed.
Beliau yang pernah menjadi Adun BN sejak 1995 sehinggalah 2013 berkata keputusan pilihan raya umum yang lalu membuktikan Umno hanya mampu meraih majoriti 3042 undi sahaja bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor dalam pertandingan tiga penjuru.
“Begitu juga dengan undi yang diperolehi oleh Adun BN bagi kerusi yang pernah saya wakili sebelum ini selama hampir 20 tahun.
“BN hanya mampu meraih majoriti sebanyak 357 undi dalam PRU13.
“Manakala bagi kerusi Dun Teluk Air Tawar yang dimenangi oleh ketua pembangkang Dun Pulau Pinang kini hanya mendapat majoriti 840 undi sahaja,” jelasnya ketika ditemui Malaysia Dateline.
Malah katanya, keputusan yang diterima sebelum ini adalah ketika Pas berada dalam Pakatan Rakyat bersama-sama dengan PKR dan DAP.
Namun begitu, kini ahli Umno yang keluar parti dan kemasukan ahli baru ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Parlimen Tasek Gelugor sudah melebihi 3000 ahli.
“Lebih parah ramai dari ahli Pas juga telah menyertai Parti Amanah Negara yang turut mendapat sokongan yang begitu menggalakkan di parlimen ini.
“Apa lagi dengan sokongan yang bercambah kepada PKR dan juga penyertaan orang Melayu bersama DAP di Pulau Pinang.
“Kemenangan tipis yang diperolehi oleh Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang lalu tidak lagi menjamin kemenangan mereka pada kali ini, ” tegasnya lagi.
Tambahnya lagi, Pas akan turut kehilangan sokongan di Tasek Gelugor kerana ramai akar umbi yang semakin meragui hala tuju yang sedang dibawa oleh pimpinan tertinggi mereka.
“Jika sebelum ini Pas mendapat sokongan hasil dari kerjasama semasa berada dalam Pakatan Rakyat pada tahun 2013.
“Kini mereka telah pun mendokong polisi Umno menyebabkan sokongan yang pernah mereka raih dari PKR dan DAP tidak akan mampu diperolehi lagi.
“Apa lagi dengan sokongan yang semakin rancak diterima oleh Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu sudah pasti akan melenyapkan impian menggunung Pas untuk bersama Umno dalam pilihan raya umum ke-14 yang akan datang, ” katanya lagi.
Sehubungan itu ujarnya, Umno dan BN akan senantiasa mempolemikkan pelbagai isu termasuklah mempropagandakan isu kewujudan Bandar Kristian di Pulau Pinang.
“Mana mungkin kewujudan bandar tersebut akan menjadi realiti sepertimana yang dipropagandakan oleh Umno dan BN.
“Dakwaan ini lahir setelah Umno dan BN merasa terancam dengan sokongan yang semakin rancak diterima oleh komponen dalam Pakatan Harapan di Pulau Pinang.
“Samada ‘by hook or crook’ Umno dan BN terpaksa mereka cipta isu untuk mengalihkan pelbagai kebobrokkan dan kejelekan yang sedang mereka hadapi di bawah kepimpinan kerajaan yang ada kini, ” ujarnya lagi.