Sekali lagi DAP diugut pemimpin BN bahawa pendaftarannya sebagai sebuah parti politik akan dikaji semula oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS). Perkara yang sama berlaku kira-kira seminggu sebelum tarikh penamaan calon pada pilihancraya umum ke 13 lalu.
Mengulas hal itu, Timbalan Pengerusi DAP Pahang M Manogaran berkata, tindakan pemimpin BN berkenaan jelas membuktikan mereka sedang gelabah melihat kebangkitan rakyat menyokong DAP.
“Masalah yang dialami oleh DAP pada kali kedua ini menunjukkan BN sudah gelabah dan takut kalah. Ini juga bukti rakyat sudah berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan kita mempunyai peluang yang baik untuk menang PRU14.
“BN harus ingat kalau ada apa-apa yang berlaku kepada DAP, para pengundi akan terus menolak BN sebab ia akan membuktikan BN sudah tidak mampu lagi mentadbir dan terpaksa ‘mengeluarkan’ pihak lawan secara pintu belakang untuk meraih kemenangan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Manogaran berpendapat situasi yang sedang dihadapi oleh DAP juga adalah satu petunjuk bahawa PRU14 adalah pada tahun ini.
“Cuma tarikh PRU14 belum saja ditetapkan tetapi ramai yang meneka ia akan diadakan pada 17 September, sehari selepas cuti umum Hari Malaysia.
“Ini adalah supaya BN dapat berpaut kepada ‘feel good factor’ dari Hari Malaysia untuk mendapat sokongan padat dari Sabah dan Sarawak di mana terdapat banyak kerusi,” jelas Manogaran.
Manogaran tidak menolak pendapat penganalisis politik luar negara yang meramalkan BN akan mengalami prestasi yang teruk dan hanya dapat menang 3 negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu di Semenanjung selain dari Sabah dan Sarawak.
Hal itu kerana di serata dunia rakyat sedang menolak pemimpin yang bermasalah dan ini mungkin akan mempengaruhi rakyat Malaysia untuk berbuat demikian.
Tegas Manogaran, rakyat tidak boleh dipermainkan pada setiap masa. Memang rakyat Malaysia amat bersabar melihat tingkah laku buruk pemimpin BN namun mereka tidak akan bersabar terus-menerus jika negara menuju ke jurang kehancuran.
“Kita sebagai rakyat sebuah negara yang berdaulat dan mengamalkan demokrasi berparlimen serta selalu diuar-uarkan sebagai ‘model demokrasi’ oleh PM Najib harus memainkan peranan yang sempurna untuk memilih pemimpin yang baik, telus, ikhas, bersih dan berwibawa. Kita harus membuktikan ‘Malaysia Boleh!’, katanya lagi.