DAP hari ini menegaskan Pakatan Rakyat (PR) tidak lagi wujud, mengambil pendirian konfrontasi terhadap kenyataan Azmin Ali iaitu Selangor masih ditadbir oleh PR memandangkan ia adalah mandat yang diberikan rakyat.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, gabungan lama PR yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS “tidak lagi wujud”.
PR ‘runtuh’ pada 2015 selepas DAP dan PAS menamatkan kerjasama mereka atas desakan PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
Pakatan pembangkang Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada PKR, DAP, Amanah, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dibentuk Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin lain yang keluar daripada Umno.
Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, menegaskan Pulau Pinang dikendalikan kerajaan negeri PH.
“Kami adalah negeri PH, kami adalah sebahagian daripada PH secara nasional, tidak ada lagi PR,” katanya dalam sidang akhbar di Rumah Terbuka Hari Raya Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang hari ini.
Terdahulu hari ini, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menjawab di Twitter: “Sangat mengejutkan. Tidak dapat diterima.”
Semalam, Azmin berkata beliau lebih berminat bekerja dengan PAS daripada menubuhkan sekretariat PH di negeri ini.
Azmin yang juga timbalan presiden PKR menekankan PR masih wujud kerana mandat yang diberikan, sambil menambah kepercayaan yang diberikan rakyat lebih penting daripada bercakap mengenai penubuhan struktur PH.
“Bersatu baru masuk. Tetapi pada peringkat kebangsaan kita belum menyelesaikan strukturnya.
“Kami masih tidak tahu siapa pengerusi PH, jadi elok selesaikan masalah di peringkat kebangsaan sebelum sampai ke negeri ini,” katanya.
Selangor mempunyai 13 wakil negeri daripada PAS. Tiga daripada wakil PAS adalah ahli dewan negeri Selangor. – TMI