PKR mendakwa Datuk Seri Najib Razak “semakin tenat” apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan permuafakatan selepas hampir 2 dekad bermusuhan.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Najib malam tadi menunjukkan pemulihan hubungan Dr Mahathir dan Anwar menunjukkan perdana menteri dan presiden Umno itu semakin panik dan terdesak.
“Politik adalah persepsi. Dua laporan berita ini sudah pasti memperlihatkan permuafakatan Anwar dan Dr Mahathir, dan ini menjadi bukti bahawa pergerakan pihak pembangkang semakin teratur hari demi hari, langkah demi langkah.
“Ini membuatkan Najib semakin panik dan terdesak kerana nyawa politik beliau semakin tenat. Bukti pertama adalah kenyataan media beliau lewat malam tadi yang diterbitkan hanya dalam bahasa Inggeris dan bukannya bahasa Melayu.”
Fahmi berkata demikian menerusi kenyataan media dikeluarkan hari ini sebagai mengulas pandangan Najib semalam.
Najib berkata sokongan Dr Mahathir untuk mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri didorong oleh rasa khuatir akan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas kerugian yang ditanggung Bank Negara Malaysia akibat dagangan mata wang asing 1990-an.
Sambil mengatakan kerugian berlaku ketika Dr Mahathir mentadbir negara ini, Najib mendakwa “pusingan U” pengerusi PPBM kali ini tidak seperti yang disangkakan.
“Sokongan itu terbit selepas 20 tahun Dr Mahathir mencerca Anwar dan menggunakan apa sahaja cara untuk menyingkirkan dia dari proses politik, termasuk menangkapnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang kini sudah dimansuhkan, mendakwa dan memenjarakan dia dan kempen menyerang akhlaknya.
“Bagaimanapun, seperti yang Dr Mahathir tahu, Anwar tidak boleh bertanding, jadi pusingan U ini bukan mengenai pilihan raya umum akan datang.
“Dr Mahathir tahu dapatan RCI boleh membawa kepada pendakwaan jenayah, jadi dia khuatir individu yang berkaitan dengan kes ini, seperti Anwar, memberi keterangan menentangnya,” kata perdana menteri.
Fahmi berkata, sebelum ini beliau pernah berkata yang Putrajaya berada dalam keadaan panik susulan tindakan saman sivil Jabatan Kehakiman, Amerika Syarikat.
“Malam semalam, kita telah saksikan bagaimana perdana menteri sendiri sekarang berada di dalam keadaan panik dan terdesak,” katanya.
Oleh itu menurut beliau, amatlah tidak memeranjatkan apabila bila Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) semalam mengumumkan DAP perlu mengadakan semula pemilihan parti bagi penggal 2013-2016.
“Pengumuman ini telah difirasat setiausaha akhbar perdana menteri pada 3 Julai lalu, di mana telah saya sebut sebelum ini bahawa kenyataan tersebut membayangkan ‘tangan-tangan ghaib’ yang akan mempengaruhi RoS dalam isu ini.
“Dan jika Najib dalam perenggan ke-3 kenyataan tersebut berkata bahawa sebuah suruhanjaya diraja mungkin membawa kepada suatu ‘pendakwaan jenayah”, maka sama seperti isu RoS-DAP, tidak mustahil perkara yang difirasat Najib ini menjadi realiti demi menempangkan pembangkang menuju PRU14.
“Tetapi bagi ramai pimpinan yang sudah lama dalam pembangkang, ugutan-ugutan politik sebegini adalah asam garam perjuangan.
“Ia hanya menampakkan sikap panik dan terdesak sebuah rejim yang tidak kisah mengenai demokrasi dan hanya mementingkan kelompok sendiri,” tambah beliau. – FMT