DAP tidak takut untuk mengadakan pemilihan baharu jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) tetapi hanya kecenderungan Umno menggunakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi sabotaj persiapan pihaknya menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang menyasarkan misi mengubah kerajaan pusat.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, pihaknya tidak khuatir untuk mematuhi arahan pemilihan semula tetapi apa jaminan yang RoS tidak akan mengeluarkan arahan yang sama sekali lagi.
“RoS mengisytiharkan pihaknya menahan pengiktirafan kerana sedang menyiasat aduan bahawa pemilihan baharu CEC tidak mengikut peraturan dan sama ada akan mengambil 4 tahun lagi untuk mengumumkan perlu adanya pemilihan semula?” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menambah: “Adakah kita akan ada situasi di mana pada 2020, RoS boleh sekali lagi meminta DAP untuk menjalankan semula pemilihan baharu CEC berdasarkan senarai perwakilan Kongres DAP 2012?”
Terdahulu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, DAP tidak perlu takut mengadakan pemilihan semula yang baharu CEC sekiranya tiada apa yang hendak disembunyikan.
Katanya, DAP perlu tunjukkan mereka telus mentadbir parti dengan mengadakan pemilihan semula CEC sepertimana yang diarahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.
Jumaat lepas, Ketua Pengarah JPPPM Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata pelantikan 20 anggota CEC DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 September 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.
Pemilihan semula yang diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012 iaitu yang melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 buah cawangan.
DAP selepas mesyuarat tergempar semalam mengumumkan mereka enggan mengadakan pemilihan semula tetapi bersedia bertemu JPPM untuk membincangkan perkara berbangkit.
Setiausaha Agung Lim Guan Eng tidak menolak tindakan JPPM bermotifkan politik serta mahu mensabotaj DAP dalam membuat persiapan menghadapi PRU14.
Kit Siang menambah, apa yang berlaku adalah persekitaran tidak masuk akal akibat konspirasi Umno dan BN bagi menyebabkan ketidakstabilan maksimum ke atas DAP sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“… hanya kerana gabungan Umno dan BN bimbang terdapat kemungkinan besar Umno-BN akan diundi keluar dalam pilihan raya umum akan datang.”
Tambah beliau, sehingga kini RoS belum menghantar surat rasmi mengenai arahan diumumkan kelmarin.
“Saya tidak percaya mana-mana penjawat awam akan bertindak dengan cara ini jika tidak ada gangguan daripada tuan politiknya,” kata beliau. – FMT