Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak telah melakukan pusingan U apabila disenaraikan antara 10 pemimpin dunia yang tinggi tahap rasuah.
Katanya Malaysia tidak pernah mempunyai seorang perdana menteri yang dikenali seluruh dunia kerana kleptokrasi dilakukan dalam pemerintahan sebuah negara sebagaimana telah dilaporkan dalam saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ).
“Jelas sekali dia (Najib) mencuri dia berhak membuat saman malu pada tuduhan itu tetapi sehingga sekarang dia tak berani. Takut kerana salah berani kerana benar.
“Konon saya berbaik dengan Anwar kerana takut saya ditangkap. Saya bekerjasama bukan masalah peribadi tetapi kita ada tujuan yang sama untuk menjatuhkan kerajan zalim Najib …ini tugas kita dan kita tidak akan dipesong daripada tujuan ini walau apa ugutan dibuat sekalipun.
“Bukan saya yang buat u-turn (pusingan u) tetapi Najib yang buat u-turn daripada seorang pemimpin dihormati tetapi jadi pemimpin tidak dipandang tinggi antara 10 pemimpin negara yang tertinggi tahap korupsinya,” ujarnya.
Beliau berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Peringkat Nasional yang diadakan di Shah Resort Hotel, Klebang Melaka malam ini.
Bercakap dihadapan lebih kurang 20,000 penyokongnya Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu (Bersatu) berkata, parti itu ditubuhan bukan kerana seorang pemimpin.
Justeru walaupun beliau pernah diugut untuk ditangkap kerana dakwaan terbabit dalam skandal forex beliau bersedia untuk berhadapan dengan sebarang ugutan di pihak kerajaan dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Kita berani walau ugutan nak tangkap dibuat oleh badan tertentu ditubuh kononnya nak kaji kesalahan pemimpin dahulu nak tangkap orang ini kerana orang ini takut mula berbaik dengan musuh ((pakatan pembangkang),” ujarnya.
Dr Mahathir juga berkata, walau apa jua yang akan dilakukan Najib untuk terus kekal berkuasa, beliau menyatakan pendirian partinya bersama Pakatan Harapan akan berusaha untuk terus menumbangkan Umno-BN dalam pilihan raya umum akan datang.
“Sebab itu nak adakan pilihan raya lebih awal dia takut ditolak rakyat.Tunggu saat terakhir bahkan kalau boleh tidak akan adakan pilihan raya secara tipu dia mahu terus kekal memerintah.
“Walau apapun dilakukan Najib untuk kekal sebagai perdana menteri kita akan berusaha bersungguh untuk jatuhkannya secara yang dibenarkan oleh undang-undang negara.
“Kita tidak akan lakukan apa-apa yang salah kerana yang salah Najib… dia berada dalam ketakutan.
“Sebenarnya hatinya berdebar.. saya harap kita semua akan menyebabkan dia tidak senang… hatinya berdebar hingga tiba pilihan raya,” ujarnya.
Dalam majlis diadakan ini turut dilakukan acara kejutan dengan majlis potong pulut kuning sempena sambutan ulang tahun kelahiran Dr Mahathir kali ke-92 yang jatuh pada 10 Julai yang disaksikan bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali , pimpinan kanan dan penyokong parti di pentas utama.
Turut hadir Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Srikandi Rina Mohd Harun serta kepimpinan tertinggi parti itu. Manakala tidak ketinggalan hadir dalam majlis sambutan rumah terbuka hari raya ini Presiden Amanah Mohd Sabu, Ahi Parlimen Kluang Liew Ching Thong, Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin dan beberapa pimpinan Pakatan Harapan negeri Melaka. – MD