Naib Presiden PKR Tian Chua kesal dengan tindakan PAS mengadakan program pelancaran jentera pilihanraya di Parlimen Permatang Pauh pada Ahad 16 Julai yang lalu.
Menurut beliau tindakan Pas mahu merampas parlimen Permatang Pauh yang sinonim dengan pimpinan Anwar Ibrahim dan istrinya Dr Wan Azizah adalah angkuh dan bersifat provokasi.
“Permatang Pauh dikenali umum sebagai kerusi Parlimen yang berkait rapat dengan PKR dan menjadi lambang kebangkitan rakyat melalui gerakan Reformasi sejak PRU 1999 lagi.
“Sejak itu, Parlimen Permatang Pauh telah dimenangi PKR sebanyak 6 kali dalam pilihan raya umum dan kecil. Sudah tentu PKR sanggup mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan kekuatan sendiri.
“Pendirian PAS yang berikrar ingin menawan Permatang Pauh akan dipandang seolah-olah parti-parti pembangkang bertengkaran sesama sendiri.
“Sikap ini bercanggah dengan kenyataan pemimpin-pemimpin PAS yang menganggap ia masih sebahagian dari pihak pembangkang yang ingin mengalahkan UMNO-BN pada PRU-14 kelak,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu Tia menggesa Pas tidak meneruskan hasrat menawan kerusi parlimen Permatang Pauh. Katanya, sekiranya PAS bersungguh-sungguh menentang korupsi dan kezaliman rejim UMNO-BN, kepimpinan PAS harus menghentikan segala tindakan yang mencabar kesabaran PKR.