Pelaksanaan hukuman sebat terbuka melalui pindaan Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Kelantan 2002 dsifatkan satu permainan politik.
Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed berkata, bagi melaksanakan hukuman sebat di khalayak pindaan seperti itu tidak diperlukan.
“Apa perlunya Kerajaan Kelantan meminda Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) sedangkan Sabah dengan menggunakan enakmen yang sama telah melaksanakan hukuman tersebut secara terbuka,” soal beliau.
Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Kelantan 2002 katanya, adalah sama dengan Seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Sabah 2004.
“Pada 9 Okt 2015, Sabah telah melaksanakan hukuman sebat secara terbuka di Dewan Terbuka Mahkamah Tinggi Syariah Tawau ke atas 2 orang pesalah kerana kesalahan persetubuhan haram.
“Kelantan, negeri yang paling disensasikan dengan pelaksanaan sebat di khalayak ramai tidak pernah melaksanakan hukuman tersebut walau pun telah dipersetujui oleh Exco Agama Kelantan dan Timbalan Menteri Besar Kelantan pada 9 Mac 2016.
“Anehnya pada 12 Julai 2017, Kerajaan Kelantan meminda pula Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 dengan memasukkan perkataan ‘secara terbuka’ yang mengikut huraiannya ialah apabila disaksikan oleh sekumpulan tidak kurang drp 4 orang Islam,” katanya.
Pindaan ini pada tafsiran beliau membawa maksud hukuman sebat yang dilaksanakan di dalam penjara, jika ianya disaksikan oleh 4 orang Islam.
“Maka ianya memadai untuk dianggap sebagai telah dilaksanakan tempat terbuka kecuali Kerajaan Kelantan mewartakan tempat khas untuk pelaksanaan sebat seperti di Medan Ilmu, Kota Bharu,” Katanya. – MD