Sikap kerajaan BN yang merahsiakan tarikh pilihan raya umum (PRU) 14 dan berusaha untuk menganjaknya bulan demi bulan menjengkelkan pelabur asing di Malaysia.
Salah seorang pelabur, Jameson Tan, yang memiliki sebuah kilang di kawasan perindustrian Sungai Buloh, Selangor berkata beliau kurang senang mendengar desas-desus terbaharu bahawa PRU akan diadakan pada bulan November, selepas dua tarikh sebelum ini September dan Oktober dikatakan tidak sesuai.
“Saya ingin berkata terus-terang bahawa masyarakat usahawan amat marah dan berang jika tarikh PRU14 ditunda dan dilengah-lengahkan lagi.
“Hari ini pun, kami golongan usahawan, baik pelabur asing ataupun tempatan sudah letih dengan ‘ketidaktentuan’ tarikh PRU14. Kerajaan Malaysia hanya ‘cakap banyak’ mengenai TN50 yang jauh itu tetapi bagaimana pula dengan tarikh PRU14, ekonomi tahun hadapan ataupun tahun 2020?” tanya Jameson.
Beliau memberitahu bahawa pentadbiran PM Najib kelihatan lembab pada tahun ini menangani banyak isu. Sebagai contoh, beliau merujuk kepada penyebaran beberapa penyakit yang sudah pun diketegorikan terkawal seperti ‘tuberculosis’ (batuk kering) dan ‘leptospirosis’ (penyakit yang dijangkiti oleh kencing tikus). Penyakit tersebut telah kembali dan meragut lebih banyak nyawa berbanding dengan wabak denggi. Selain masalah penyakit anjing gila di Serian, Sarawak dan Taiping di Perak. Menurutnya penyakit seperti itu tidak wajar merebak di negara yang hampir maju seperti Malaysia.
Jameson juga mempertikaikan media negara ini yang mendiamkan isu 1MDB dan PM sendiri yang tidak mahu berdebat walaupun telah berkali-kali dicabar oleh pesaingnya Tun Mahathir.
“Ramai rakan usahawan termasuk saya sendiri hendak tengok debat di antara PM Najib dengan Tun Mahathir Mohamad dalam ‘Forum Nothing To Hide 2.0’ sebab saya hendak tahu dengan lebih teliti perihal isu 1MDB.
“Suratkhabar di luar negeri banyak menyiarkan berita 1MDB tetapi yang terbaik ialah debat pemimpin berkaitan dengannya,” ujar Jameson yang memerhatikan kini Tun Dr. M sedang ‘raise his game’ untuk memberi tekanan kepada PM Najib.
“Saya harap PM Najib akan menyahut cabaran untuk berdebat dan memberi cabaran yang hebat kepada Tun Mahathir kerana kalau PM Najib dapat menewaskan beliau dengan mudah, pasti BN pun akan senang menang pilihan raya umum nanti,” tambah Jameson.