Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Salahuddin Ayub dan Pengerusi Amanah Johor Amiolhuda Hasan berkata, Pakatan Harapan negeri itu tidak terikat menamakan mereka berdua sebagai calon Menteri Besar sekiranya BN berjaya dikalahkan dalam pilihan raya umum ke 14.
Mereka menganggap laporan sebuah portal Beritadaily.com baru-baru ini sebagai kurang tepat dan menegaskan calon-calon daripada parti lain seperti Bersatu dan PKR juga akan diambil kira untuk menduduki kerusi menteri besar.
“Kami ingin tegaskan bahawa Pakatan Harapan Johor ketika ini berada pada kedudukan kukuh dan bersedia mendepani PRU14.
“Di samping nama kami yang cuba diketengahkan menerusi portal berita tersebut, saya ingin mengingatkan bahawa kami turut mengemukakan tokoh-tokoh besar yang lain seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ADUN Jorak Datuk Dr Shahruddin Md Salleh serta tokoh pejuang rakyat Hassan Karim sebagai pemain utama di Johor menjelang PRU14,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Kata mereka lagi, PH Johor amat serius untuk merealisasikan perubahan di peringkat negeri seterusnya memastikan Johor menjadi penyumbang yang signifikan kerusi parlimen untuk perubahan di peringkat nasional.
“Hal ini menunjukkan kesepaduan PH di peringkat negeri dan nasional untuk berhadapan Umno BN di Johor. Sekaligus, ia merupakan kontras kepada kompas perjuangan BN negeri yang dilihat tiada kesepaduan, tidak rukun dan tidak selari dengan kepimpinannya di peringkat pusat yang diterajui Perdana Menteri Najib Razak yang terpalit pelbagai skandal.
“Dengan ramainya tokoh-tokoh yang dikemukakan PH untuk berpencak di Johor juga, ia mematahkan propaganda Menteri Besar merangkap Pengerusi Barisan Nasional Johor Mohamed Khaled Nordin yang cuba mengheret perlawanan antara PH-BN di Johor sebagai pertembungan survival antara kuasa politik Melayu vs Cina dalam kerangka lapuk perkauman sempit tajaan mereka.
“Rakyat khususnya bangsa Johor boleh menilai keseriusan dan iltizam PH ini untuk menerajui Johor ke arah tatakelola berkerajaan yang lebih baik, demokratik dan beramanah dalam membela nasib rakyat.
“Kami juga yakin dengan strategi meletakkan Johor sebagai medan pertempuran paling sengit menjelang PRU14, PH akan memberikan lebih banyak ruang lagi kepada tokoh-tokoh utama kami untuk menyumbang di Johor.” kata mereka lagi.
Kedua-duanya bertegas, calon Menteri Besar akan diputuskan menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PH sebaik sahaja keputusan PRU 14 diketahui
“Keputusan akan dibuat berteraskan semangat muafakat dalam kerjasama politik yang dibentuk.
“Mana-mana pihak boleh sahaja membuat spekulasi. Namun kami tegaskan, keutamaan PH adalah memenangi PRU14 yang akan datang untuk mengangkat semula maruah dan membela nasib rakyat yang gagal digalas oleh Umno BN,” akhiri kenyataan tersebut.