Oleh: Khaulah Azwar
Dalam pembentangan bajet 2011 kerajaan telah mengumumkan pembelaan menyeruruh terhadap rakyat melalui pelbagai bentuk skim bantuan. Salah satunya ialah pakej bantuan kepada orang asli yang akan membawa mereka menyertai arus perdana kemajuan negara.
Namun semua itu hanya indah dalam ucapan, realitinya tidak sedemikian. Misalnya, dalam tinjauan media baru-baru ini, orang asli yang tinggal di kawasan Bukit Lagong, Selayang dan Kemensah, Gombak kira-kira 10 – 20 kilometer dari ibu negara Kuala Lumpur masih lagi kekal dalam keadaan kemiskinan. Mereka sukar berhubung dengan dunia luar dan tidak dibantu sepenuhnya oleh pihak kerajaan.
Menurut Tok Batin Muhammad Bee Abdulah yang telah memangku jawatan tersebut selama 60 tahun keadaan tidak berubah biar berapa kali pun bajet dibentang. Walaupun bajet 2011 menjanjikan elaun Tok Batin dinaikkan kepada RM800 sebulan namun elaun beliau masih RM450. Itu pun terdapat kesilapan ejaan nama yang tidak diperbetulkan olek pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang mengeluarkan cek elaun berkenaan. Begitu juga dengan tempat mengundi yang jauh, biarpun telah diadukan kepada pihak kerajaan namun tiada siapa pun yang datang membantu mereka.
“Sebelum ini saya ada menerima cek gaji, namun cek tersebut tidak boleh digunakan kerana tersalah tulis nama. Nama yang mereka letak adalah nama Islam Muhammad Bee Abdullah. Kalau boleh saya ingin guna nama Bee Anak Samun kerana mudah untuk berurusan. Disebabkan salah letak nama sehingga kini saya tidak mendapat cek yang baru untuk 3 bulan bulan gaji saya, RM1,350.
“Kami tidak meletakkan harapan yang tinggi (terhadap bantuan kerajaan) kerana sudah banyak janji-janji yang diberikan Kerajaan Pusat kepada kami tetapi tidak ditunaikan lagi.
“(Selain itu)Kami juga telah mengadu untuk membuat penukaran lokaliti mengundi. Namun tiada siapa yang datang membantu. Untuk kami usahakan sendiri sangat sukar memandangkan kami tidak mempunyai kenderaan untuk keluar. Selain itu, kami juga tidak pandai membaca dan menulis untuk berurusan dengan orang luar,” keluhnya.
Tambah Muhammad, masyarakat kampung itu juga sukar mengambil bantuan yang diberikan kerana hanya boleh didapati di kampung Kuang yang terletak lebih kurang 15 kilometer jauhnya dari kediaman mereka.
“Bantuan pemberian barangan kepada penduduk di sini sukar diperolehi. Rata-ratanya kami mendapat bantuan di Kuang. Orang asli di sini juga mengundi di kawasan tersebut yang bagi kami begitu jauh untuk keluar mengundi atau mengambil bantuan,” katanya.
Penempatan orang asli Bukit Lagong adalah salah satu penempatan orang asli yang hampir dengan bandar. Menurut Muhammad Bee penduduk di situ berjumlah 109 orang. Sembilan orang telah pun memeluk Islam dan selainnya masih tidak mempunyai pegangan agama.
Rata-rata penduduknya bekerja dengan memungut hasil kayu-kayan dan memburu binatang hutan untuk dijual. Pendapatan mereka hanya sekitar RM20 sehari.