Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, sambutan rakyat Pahang terhadap program yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan (PH) Pahang amat memberansangkan dan tidak mustahil berlaku kejutan di negeri itu dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 kelak.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab menjelaskan, walaupun Pahang adalah kubu kuat BN namun rakyat negeri itu semakin menunjukkan minat terhadap pembangkang.
Apatah lagi pemimpin utama Umno seperti PM Najib Razak dibelit skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad yang semakin difahami rakyat sebagai punca bertambahnya hutang negara dan pengenalan pelbagai jenis cukai baharu oleh kerajaan.
Menurut Tengku Zulpuri, gerak kerja PH di Pahang sehingga kini berjalan lancar dan DAP turut menumpukan kepada pengundi Melayu yang menjadi majoriti di kawasan luar bandar.
“Sambutan dari pengundi Melayu di kawasan-kawasan kampung serta pedalaman amat memberangsangkan.
“Ceramah PH untuk menyampaikan maklumat di kawasan parlimen majoriti Melayu kita anggap berhasil apabila para hadirin kelihatan berminat mendengar dengan teliti untuk mengetahui berita politik dan ekonomi terkini,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Beliau menegaskan, mood untuk berubah kali ini lebih baik berbanding PRU 13 dan PH boleh mencapai prestasi yang cemerlang kalau terus menggiatkan usaha untuk menyampaikan maklumat.