Pelantikan semula Md Raus Sharif sebagai ketua hakim negara yang dibuat tanpa berunding dengan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), adalah satu tamparan kepada kebebasan badan kehakiman negara, kata DAP.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata lanjutan tempoh perkhidmatan itu tidak mendapat persetujuan JAC yang menjadikannya “bukan sahaja tidak berperlembagaan dan belum pernah terjadi, tetapi paling tidak wajar.”
“Sudah tentu, tiada tamparan paling hebat terhadap kemerdekaan, kesaksamaan dan profesionalisme badan kehakiman berbanding sebuah negara yang mempunyai badan kehakiman diketuai seseorang yang terlibat dalam kontroversi Perlembagaan mengenai lanjutan jawatannya selama tiga tahun?” kata beliau kenyataannya hari ini.
Menurut Lim, ia juga membimbangkan apabila bekas ketua hakim perlu menyatakan pelantikan hakim utama negara tidak perlu mempunyai cadangan daripada JAC.
Dalam artikel The New Straits Times baru-baru ini, bekas ketua hakim Zaki Azmi berkata walaupun akta JAC memberi kuasa kepada suruhanjaya mencadangkan calon ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan kepada perdana menteri, cadangannya tidak seharusnya diikuti kerana JAC adalah “institusi sokongan” sahaja.
Lim berkata beliau bimbang Zaki akan menganggap JAC sebagai badan tidak relevan kerana tidak dapat mengatasi peruntukan Perlembagaan mengenai pelantikan hakim, dan menggesa Perdana Menteri Najib Razak dan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali menjelaskan jika mereka menyokong pandangan itu.
Dalam artikelnya, Zaki membangkitkan mengenai peruntukan akta JAC, di mana Seksyen 21 memberi kuasa suruhanjaya itu untuk mencadangkan calon kepada perdana menteri bagi jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.
Sementara itu, Seksyen 26 pula menyatakan “satu laporan dihantar kepada perdana menteri. Ia mengatakan jika JAC tidak mencadangkan kepada perdana menteri pelantikan semula ketua hakim dan presiden, maka nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong adalah melanggar persyaratan prosedur wajib,” tulis Zaki.
Bagaimanapun, Zaki berkata ia juga dipertikaikan yang JAC adalah “institusi sokongan” yang tidak boleh menggantikan prosedur dan keperluan Perlembagaan tertinggi”.
Beliau juga menyentuh Perkara 122B (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan hakim “tidak memerlukan perdana menteri bertindak ke atas cadangan JAC”.
“Dalam mana-mana kes, prosedur akta JAC tidak wajib, tetapi hanya panduan. Perdana menteri tidak perlu bertindak berdasarkan cadangan JAC. Perdana menteri tidak terhad kepada calon yang disyorkan oleh JAC.
“Dari segi undang-undang Perlembagaan dan pentadbiran, kuasa yang diberikan kepada perdana menteri oleh Perlembagaan tidak boleh diambil alih oleh JAC atau dilepaskan oleh perdana menteri. Budi bicara perdana menteri di bawah Perkara 122B (1) tidak tertakluk pertimbangan JAC,” kata Zaki.
Lim berkata Zaki kini menambah kekaburan yang melingkari lanjutan lantikan Raus yang tidak berperlembagaan sebagai ketua hakim negara. – TMI