Sepuluh tahun selepas keresahan masyarakat India terhadap lebarnya jurang kekayaan dengan kaum lain di Malaysia meletus sehingga berlakunya rapat umum besar anjuran Hindraf di Kuala Lumpur, kerajaan masih belum juga dapat mengembalikan keyakinan etnik minotiti itu, kata penyelidik dan kaji selidik Pusat Inisiatif Polisi Invoke.
Kajian itu mendapati rasa tidak puas hati yang berterusan dalam kalangan masyarakat India yang membentuk 8% penduduk Malaysia, berpaksi pada tiga kebimbangan utama: kos sara hidup yang tinggi, rasuah serta kurang peluang kerjaya dan gaji yang rendah.
Daripada 17,107 pengundi berdaftar yang melengkapkan kaji selidik itu — 1,110 daripada kaum India, 47.66% pengundi India menyatakan kebimbangan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat berbanding 47.64% pengundi Melayu dan 29.12% pengundi Cina.
Kaji selidik Invoke yang dijalankan antara 2 Jun hingga 14 Julai itu juga menyemak hal lain yang menjadi kebimbangan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Ia mendapati 13.65% pengundi India resah dengan rasuah awam berbanding 15.14% pengundi Cina dan 9.92% pengundi Melayu, apabila ditanya soalan yang sama.
Pengundi India juga paling tidak berpuas hati dengan kurangnya peluang kerjaya dan gaji rendah dengan undian 10.37% berbanding Melayu 6.57% dan Cina 4.89%.
Dr Denison Jayasooria dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata masyarakat India, dan warga Malaysia lainnya, merasai beban kos sara hidup yang tinggi dan tidak yakin dengan janji kerajaan atau nasihat untuk mengurangkan beban itu kerana “tidak ada perubahan pada kepimpinan politik.”
“Kepimpinan politik (tidak menunjukkan) ia juga mengurangkan belanja, jadi ini tidak memberikan keyakinan kepada orang ramai. Sekiranya pemimpin politik kata mereka akan potong gaji, elaun kereta, penerbangan dan sebagainya, tentu akan akan ada keyakinan bahawa kepimpinan politik dan perniagaan juga mengurangkan (kos dan perbelanjaan). Kita tidak nampak itu,” kata felo penyelidik utama di Institut Kajian Etnik (KITA) itu.
“Ini bukan hanya soal pemimpin politik mengisytiharkan harta. Pendedahan (penyelewengan) seperti ini melibatkan jumlah wang yang besar dan ia tidak mewujudkan keyakinan,” tambah Jayasooria.
Tunjuk perasaan Hindraf pada November 2007 menghimpunkan antara 10,000 hingga 30,000 warga Malaysia etnik India yang turun ke jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Ia dicetuskan insiden pemusnahan kuil Hindu yang dibina secara haram serta beberapa isu lain termasuk peluang pendidikan dan pekerjaan yang sempit dalam kalangan anak muda India dan isu kekeluargaan yang berbangkit daripada pemelukan kepada agama Islam.
Kerajaan pada April lepas mengumumkan pelan RM1 bilion dalam Pelan Tindakan Masyarakat India bertujuan meningkatkan mutu hidup kaum itu menjelang 2027.
Biarpun pelan itu melibatkan peruntukan RM500 juta kepada Permodalan Nasional Bhd untuk skim pelaburan amanah saham bagi masyarakat India berpendapatan rendah, Jayasooria berpendapat isu asas seperti peluang pekerjaan kepada anak muda dan kumpulan sasar perlu dirancang dengan lebih baik.
“Kalau mahu mensasarkan kumpulan tertentu, seperti belia menganggur, kita perlu cari belia itu dan ia memerlukan kemahiran tertentu serta institusi yang belum dibentuk.
“Kita perlu campur tangan pada dua peringkat: peringkat makro dan peringkat khusus melibatkan kumpulan sasar,” katanya.
Masyarakat India datang ke Malaya sebagai buruh di bawah pemerintahan British. Mereka bekerja di ladang dan sesetengahnya sebagai pedagang dan menjadi anggota keselamatan. Ada juga yang bekerja dengan pentadbiran penjajah kerana menguasai bahasa Inggeris yang baik.
Namun kebanyakan daripada mereka kekal di estet getah dan terpinggir apabila kemajuan pesat membangun, mencampakkan mereka terperosok ke pinggir sehingga menjadi miskin bandar.
Mereka merupakan bahagian yang signifikan dalam kategori B40 iaitu 40% daripada isu rumah yang berpendapatan tidak lebih RM3,855 sebulan. Dianggarkan 695,030 daripada 1.7 juta penduduk warga India Malaysia termasuk dalam kelompok ini.
Menurut Jayasooria, kesan kemerosotan ekonomi semasa akan sangat dirasai kumpulan B40 yang kais pagi makan pagi, antaranya kerana hilang pekerjaan kepada buruh asing yang lebih murah. Ini contoh isu pokok yang memberi kesan kepada masyarakat India yang gagal ditangani kerajaan.
“Saya fikir kerajaan melalui pelan tindakan itu cuba menangani sesetengah kebimbangan tetapi isu makro ekonomi yang perlu ditangani adalah isu pokok, seperti penggantungan yang melampau kepada pekerja asing dan gaji yang rendah,” katanya. – TMI