Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendakwa Majlis Pecah Tanah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kotasas Kuantan hari ini membuktikan berlakunya penjajahan ekonomi terhadap Malaysia.
Setiausaha Agungnya Syed Hassan Syed Ali berkata, pertubuhan itu berasa kecewa kerana identiti negara hilang apabila projek mega kerajaan persekutuan itu dilaksanakan secara rasmi.
“Perkasa sangat kecewa identiti negara hilang dalam majlis tersebut. Kelihatan bendera sepanjang jalan dalam bahasa Mandarin. Satu bendera Malaysia pun tidak ada.
“Apakah tidak dibenarkan bendera Malaysia diletak atau digantung untuk majlis tersebut?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Kata Syed Hassan lagi, pengacara majlis turut berbahasa Mandarin.
“Kemungkinan dibawa dari China. Permulaan penafian Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
“Lori-lori dan jentera berat juga dibawa dari China. Perkasa mahu tahu apakah pemadu lori-lori dan pengendali mesin-mesin khas untuk pembinaan track keretapi itu juga dari negara China?
” Jika benar, apakah rakyat tempatan tidak mampu memandu atau mengedalikannya? Dan berapa ramai pekerja dari tanah besar China akan dibawa masuk untuk bekerja di projek ECRL ini?,” soalnya lagi.
Perkasa ujarnya lagi, menganggap pemimpin kerajaan hari ini sanggup gadai maruah negara dan bangsa demi projek pembangunan.
“Hal ini tidak berlaku semasa negara membina KLIA, Putrajaya, ERL, LRT, Litar F1, West Port, Menara Berkembar Petronas dan lain-lain projek mega negara sebelum ini.Di manakah jati diri pemimpin-pemimpin negara sekarang,” ujarnya.
Sebagai rekod projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu melibatkan pembinaan landasan sepanjang 688 kilometer dengan kos sebanyak kira-kira RM55 bilion.
Pembinaannya akan menghubungkan Lembah Klang dengan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan selari dengan inisiatif kerajaan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur negara dan menaik taraf pengangkutan awam di luar bandar.
Hari ini perdanan menteri telah menyempurnakan majlis pecah tanah projek ECRL di Kotasas sebuah syarikat yang terbabit sama dalam projek mega ini, yang menandakan bermulanya perubahan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu di Pantai Timur.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang juga Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan Pengarah Eksekutif Kotasas Sdn. Bhd., Tengku Amir Nasser Tengku Ibrahim.
Acara itu turut disertai Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ; dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Seri Nancy Shukri; Ahli Majlis Negeri China, Wang Yong selaku wakil khas Presiden China, Xi Jinping; pegawai kanan kerajaan China serta pemegang kepentingan projek berkenaan. – MD