Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyatakan status terkini tiga individu terbabit atas dakwaan pengubahan wang haram berjumlah RM61.48juta selain memiliki secara salah barangan mewah dalam kes membabitkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Darell Linking berkata, sepatutnya kes tersebut telah pun dibicarakan di mahkamah.
“Kamit nak tahu apa jadi dengan dakwaan terhadap kes ini oleh SPRM.
“Kami difahamkan pengurusan kes di mahkamah sedang berlaku tetapi masih tiada perbicaraan dibuat oleh mahkamah sesyen hingga ke hari ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau mengulas mengenai tiga individu yang telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM61.48 juta, selain memiliki secara salah barangan mewah oleh SPRM.
Sebutan kes itu ditetapkan pada 8 Ogos lalu bagaimanapun tiada sebarang kenyataan terkini yang dibuat oleh SPRM berkaitan perkembangan perkara itu.
Ini kerana sebelum ini SPRM menafikan dakwaan kononnya ia mengesahkan tiada unsur rasuah dalam kes membabitkan JANS.SPRM berkata, dakwaan itu dikesan disebar di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab
Ketiga-tiga tertuduh itu ialah bekas pengarah JANS, Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya, Fauziah Ag Piut serta penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Beng.
Awang Mohd. Tahir yang juga tertuduh pertama dan telah digantung tugas selepas disiasat SPRM Oktober lalu berdepan dengan 12 pertuduhan membabitkan pemilikan secara haram wang tunai dan di dalam akaun bank berjumlah RM56.9 juta.
Sementara itu, isterinya berdepan dengan 19 pertuduhan membabitkan pemilikan wang haram RM2.2 juta. Pertuduhan yang dihadapi Fauziah sebagai tertuduh kedua turut melibatkan pemilikan secara salah pelbagai jenis harta yang tidak dimaklumkan nilainya.
Awang Mohd. Tahir dan Fauziah turut berdepan dengan dua lagi pertuduhan secara bersama iaitu memiliki sebanyak 921 jenis pelbagai barangan kemas dan barangan mewah yang tidak dinyatakan nilainya.
Sementara itu, tertuduh ketiga iaitu Lam Beng berdepan dengan empat pertuduhan memiliki kenderaan mewah serta wang tunai secara haram sebanyak RM2.38 juta.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing yang dibuat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001
yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 29 Disember lalu. – MD