Jentera kerajaan digunakan sebagai senjata menentang Pakatan Harapan (PH) ketika pilihan raya umum semakin hampir, amaran ahli Parlimen DAP kepada pengundi malam tadi.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, ia susulan tindakan terkini pihak berkuasa persekutuan terhadap beberapa ahli politik pembangkang.
Seorang daripadanya, Zahid Mat Arip daripada Bersatu yang ditahan bagi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching.
Zahid yang sebelum ini pembantu khas kepada bekas pengerusi Felda Isa Samad, baru-baru ini ditahan selepas mengkritik Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menerusi rakaman video.
“Beliau mengkritik TPM kerana mendedahkan maklumat kad pengenalan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dan membuat dakwaan tidak benar. Beliau kemudiannya ditangkap.
“Perkara yang sama berlaku kepada mereka yang mendedahkan salah laku, seperti (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara) Tony Pua dan (Ahli Parlimen Pandan) Rafizi Ramli; dan sekarang kita lihat Exco Kerajaan Pulau Pinang Phee Boon Poh,” katanya.
Phee ditahan pada Jumaat ketika memberikan kenyataan di pejabat SPRM di Pulau Pinang berhubung surat yang ditulisnya mengenai kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam.
Phee, exco alam sekitar, sedang disiasat kerana didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan ganjaran. Semalam, pendaftar mahkamah memberikan SPRM perintah reman untuk menahan Phee selama lima hari.
“Kami tidak bimbang apa-apa kerana kita berada di pihak yang benar. Phee memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membantu siasatan tetapi kesungguhan itu tidak dibalas. Beliau ditahan serta merta.
“Pada masa yang sama, pencuri dan kleptokrat, tidak berdepan tindakan sedemikian,” katanya.
Sim berkata sebarang siasatan dialu-alukan, tetapi pihak berkuasa perlu berlaku adil kepada semua pihak. – TMI