Kekecohan tercetus pada forum Nothing to Hide 2.0 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan sebentar tadi berkenaan dengan tragedi Memali yang berlaku ketika beliau menjadi perdana menteri.
Sekumpulan peserta yang tidak berpuas hati dengan penjelasan beliau secara tiba-tiba membaling kasut dan disusuli dengan suar, kerusi dan botol air ke arah pentas di mana Dr Mahathir berada ketika itu.
Dua bom asap turut dilemparkan ke atas peserta, sekali gus mencetuskan ‘cahaya api’ berwarna kuning merah.
Kejadian berlaku sekitar 5.30 petang, kira-kira 2 jam selepas program bermula.
Program berjalan lancar hampir sejam setengah sebelum berubah kecoh ketika Dr Mahathir sedang menjawab soalan berkaitan dengan Memali.
Hanya Dr Mahathir yang berucap di forum ini selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak muncul walaupun diundang.
Suasana itu mencetus panik di kalangan pemimpin dan peserta yang mengikuti forum itu, menyebabkan mereka cuba menyelamatkan diri dan berlaku pergelutan di kalangan penyokong Dr Mahathir dan peserta yang tidak berpuas hati.
Dr Mahathir, yang juga pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan kemudiannya diselamatkan oleh penganjur program. Ia dianjurkan oleh sayap Pemuda PPBM, Armada Malaysia.
Kesemua pemimpin Pakatan Harapan yang hadir turut diiring keluar dengan ketat oleh pihak keselamatan forum.
Insiden itu juga menyebabkan program yang pada awalnya dijadual berakhir pada jam 6 petang terpaksa dihentikan.
Suasana tegang yang terjadi dalam Dewan Raja Muda Musa – tempat berlangsungnya – juga disaksikan di luar dewan apabila penyokong Pakatan Harapan dan PPBM didapati mengejar suspek yang menyebabkan kekecohan.
Antara pemimpin Pakatan Harapan yang hadir pada forum hari ini termasuklah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Datuk Zaid Ibrahim, Khalid Abdul Samad, Zuraida Kamaruddin, Ng Suee Lim dan Dr Daroyah Alwi.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika ditemui berkata, bom asap dan beberapa benda lain dibaling ke arah Dr Mahathir oleh pihak tertentu untuk mencederakan beliau dan mensabotaj forum.
“Perkara ini sengaja dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk mencederakan Tun Mahathir. Semua peralatan, kerusi, botol air, kasut, suar sengaja dibaling ke arah Tun Mahathir,” kata beliau.
Bulan lalu, Dr Mahathir mencabar Najib ke forum yang diadakan hari ini.
Pada 25 Julai lalu, sekumpulan anggota Pemuda PPBM yang hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra untuk menyerahkan undangan rasmi kepada Najib telah dihalang kira-kira 200 Pemuda Umno hingga menyebabkan berlaku kekasaran.
Ketua Penerangan PPBM Ashraf Mustaqim mendakwa beliau turut ditumbuk.
Forum Nothing to Hide julung kali dianjurkan pada 5 Jun 2015 di PWTC tetapi Najib tidak hadir atas faktor keselamatan.
Ketika itu, polis menghentikan Dr Mahathir daripada meneruskan ucapan. – FMT