Penggunaan gengster dan keganasan kini jadi “SOP” dalam program yang mengkritik Umno dan perdana menteri, kata Bersih 2.0 selepas kasut dan kerusi berterbangan serta suar dibaling pada forum “Nothing to Hide 2.0” di Shah Alam, semalam.
Bersih berkata tindakan keganasan menjadi trend yang membimbangkan dalam arena politik negara dan mendesak ia diakhiri segera.
“Penggunaan gengster dan keganasan politik yang meningkat kini ‘SOP’ (prosedur operasi standard) di mana-mana acara yang mengkritik pihak berkuasa, khususnya Umno dan Perdana Menteri Najib Razak,” kata gabungan kumpulan menyokong perubahan pilihan raya dalam satu kenyataan hari ini.
“Kini masanya untuk kepimpinan politik mengakhiri keganasan ini. Tindakan berdiam diri Kabinet tidak boleh diterima.
“Kementerian Dalam Negeri perlu menetapkan standard moral kerana keganasan itu nampaknya mungkin berlaku lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.
Forum “Nothing to Hide 2.0” semalam sepatutnya menjadi platform debat terbuka antara Najib dan Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad tetapi dihentikan selepas kekecohan tercetus apabila suar dinyalakan dan dibaling ke tengah dewan, selain kasut dan kerusi dilemparkan.
Pada masa itu, Dr Mahathir yang pernah menjadi mentor Najib sedang menjawab soalan peserta.
Bersih berkata taktik kasar untuk menangani perbezaan politik itu semakin meningkat sejak beberapa tahun terakhir ini, malah himpunan besar-besaran yang dianjurkan organisasi itu juga menjadi mangsa keganasan.
“Keganasan politik seperti itu turut dikenakan terhadap konvoi dan himpunan Bersih 5 pada 2016, menyebabkan penyokong Bersih dipukul, diganggu dan diancam.
“Aktivis menerima ancaman mati, pameran kartunis Zunar sering jadi sasaran dan ceramah ahli politik terganggu,” kata Bersih.
“Kini ia berlaku lagi dalam forum di mana matlamat utama untuk membuka ruang perbahasan antara Dr Mahathir dan Najib, bagi membincangkan isu kritikal negara seperti rasuah, 1MDB dan salah guna kuasa,” katanya.
Presiden Bersama Centre For A Better Tomorrow (CENBET) Gan Ping Sieu turut mengeluarkan kenyataan berkata wujud trend yang membimbangkan apabila masyarakat menggunakan keganasan sebagai bentuk meluahkan perasaan.
Gan berkata pemimpin politik tidak menangani ketegangan politik dengan baik.
“Kejadian semalam memalukan sedangkan ia sepatutnya menjadi ruang perbincangan yang bertamadun.
“Dalam masyarakat demokratik, perdebatan sivil menjadi ruang untuk idea dan mencapai kata sepakat. Rakyat Malaysia terutama golongan muda, memilih dialog, bukan tindakan kekerasan,” katanya. – TMI