Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengecam tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berikutan tangkapan seramai enam orang pada majlis ceramah anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Taman Tapah yang turut disertai Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput, Dr Jeyakumar.
Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Mohd Akmal Kamarudin tangkapan tersebut jelas bermotifkan politik seolah-olah menerima arahan pihak tertentu.
“Kami kesal dengan tindakan tidak profesional Polis di dalam isu ini seolah-olah hanya menerima arahan daripada Umno – Barisan Nasional (BN).
“Bagi kami dengan melihat kedudukan jenayah yang semangkin meningkat, mengapa perlu Polis bersungguh-sungguh memusuhi pemimpin Pakatan Rakyat (PR). Kita belum pernah dengar bahawa majlis atau ceramah anjuran Umno atau parti Kompenan BN yang lain diganggu polis atau ada pemimpin mereka yang ditangkap.
“Pimpinan Pakatan Rakyat sering kali menjadi buruan pihak Polis seperti penjenayah besar dan usaha bagi menangkap akan sentiasa berlaku. Ini membuktikan Negara kita terlalu terkebelakang dari segi demokrasi. Umno / BN seolah-olah bebas menggunakan Polis untuk kepentingan politik bacul mereka,” katanya.
Dewan Pemuda PAS Perak memohon agar polis bersikap profesional dan matang di dalam menjaga keselamatan negara dan rakyat, jangan sampai rakyat menganggap Polis itu Umno dan Umno itu Polis.