Pengacau yang menimbulkan kekecohan pada forum ‘Nothing To Hide 2.0’ Ahad lalu menolak prinsip asas Rukun Negara, kata Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran
Beliau berkata, Malaysia merupakan negara demokrasi dan mana-mana pihak berhak menyatakan pendapat, mengadakan ceramah atau forum selagi tidak menyinggung perasaan mana-mana kaum atau pun kelompok masyarakat.
“Pada saya, orang yang membuat serangan ke atas Tun Dr Mahathir semalam langsung tidak menghormati seorang negarawan veteran yang telah banyak berjasa kepada negara selama 22 tahun.
“Ini jelas membuktikan bahawa di bawah kepimpinan PM Najib Tun Razak, prinsip Rukunegara yang kelima iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ sudah dilupakan, apabila terdapat orang yang sanggup mengganggu forum intelektual dan merusuh,” kata Manogaran kepada Suara pakatan daily.
Beliau yang juga seorang peguam menambah, para perusuh dalam majlis itu jelas mengamalkan budaya songsang serta mundur dan sewajarnya mereka didakwa di bawah Akta Rusuhan.
“Forum tersebut telah mendapat kelulusan dari pihak berkuasa. Ini bererti Pakatan Harapan (PH) sentiasa mematuhi undang-undang.
“Ia juga bermakna forum tersebut tidak patut diganggu dan persoalan penting di sini ialah pihak mana yang berani membuat kecoh?” tanyanya.
Selain itu, Manogaran berharap Tun Mahathir tidak akan gentar untuk terus menganjurkan forum selepas ini bagi mendedahkan isu-isu penting yang menyebabkan negara hilang keyakinan di pentas antarabangsa serta mengakibatkan harga barang serta kos sara hidup meningkat.