Kekacauan dan provokasi yang terjadi pada forum Nothing to Hide 2.0 menunjukkan ketakutan pihak-pihak tertentu terhadap pendedahan negarawan Tun Mahathir Mohamad berkenaan isu-isu semasa.
Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, majlis forum dan ceramah sepatutnya tidak diganggu. Bagaimanapun, kekerasan pada Ahad lalu menunjukkan permulaan yang buruk menjelang pilihan raya umum ke 14.
“Situasi politik di Malaysia sudah menjadi amat teruk pada masa kini berdasarkan kekecohan yang berlaku semasa forum ‘Nothing To Hide 2.0’ Ahad lalu.
“Ia juga menunjukkan pihak-pihak tertentu sangat takut Tun Dr Mahathir akan mengulas dengan terperinci mengenai isu 1MDB yang cuba ditutup oleh kerajaan,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Pahang.
Menurut Tengku Zulpuri lagi, isu 1MDB walaupun tidak begitu difahami oleh rakyat bawahan tetapi semakin hangat diperkatakan apabila pemimpin pembangkang menerangkan kaitan penyelewengan dana kekayaan negara itu dengan kos sara hidup yang meningkat.
Hal-hal berkenaan, kata beliau, menyebabkan rakyat mahu tahu lebih lanjut sama ada hutang 1MDB menjadi faktor utama penyebab kekurangan wang kerajaan untuk membiayai subsidi sehingga harga barang melambung naik.