DAP sedang menimbang untuk meletakkan tokoh-tokoh veterannya seperti Lim Kit Siang, Teresa Kok dan lain-lain bertanding kerusi Parlimen yang lebih sukar bagi membuka jalan kepada generasi pelapis parti itu menyertai pilihan raya umum akan datang.
Beberapa sumber parti memberitahu The Malaysian Insight DAP akan terus memberi fokus kepada Johor, negeri kelahiran Umno , parti yang menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kita mengintai kerusi yang lebih sukar untuk pemimpin veteran . Tetapi sesetengah kerusi itu sebelumnya ditandingi oleh rakan kerjasama kami, jadi kena ada pujuk-memujuk,” kata seorang sumber.
DAP yang bertanding 51 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum 2013, menang 38 buah kerusi — jumlah tertinggi dalam kalangan sekutunya ketika itu Pakatan Rakyat (PR) yang menggabungkan PKR dan PAS.
DAP kini bergabung secara rasmi dalam Pakatan Harapan (PH) bersama-sama PKR dan parti serpihan PAS, Amanah serta Bersatu yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga mempengerusikan pakatan baru itu.
PAS sudah memutuskan akan bersendirian dalam pilihan raya umum nanti bersama sebuah lagi gabungan parti politik baru, dan dilihat rapat dengan Umno.
“Pemikir strategik parti sedang cuba meyakinkan pemimpin-pemimpin veteran ini untuk bertanding di kerusi lain, dan memberi laluan kepada pemimpin muda untuk mengambil kubu kuat sedia ada,” kata seorang lagi sumber.
Kit Siang, ketua parlimen DAP dan ahli Parlimen Gelang Patah, dikatakan berminat bertanding di sebuah kerusi Parlimen lain di Johor. Namun pilihan yang ada terhad kerana DAP hanya bertanding enam kerusi di negeri itu pada 2013.
Ketika diminta mengulas pelan terkini itu, beliau enggan mengesahkannya dan berkata ia masih sedang dalam pertimbangan.
Pakar strategi DAP, Liew Chin Tong yang juga ahli Parlimen Kluang dikatakan mahu bertanding di Labis , kerusi yang dipertahankan oleh pemimpin MCA, Chua Tee Yong dalam pertembungan satu lawan satu dengan Ramakrishnan Suppiah dari DAP dalam pilihan raya 2013.
Difahamkan Kok, ahli Parlimen Seputeh sejak 1999, mungkin dipindah keluar dari kubu kuatnya itu untuk bertanding di kerusi Parlimen yang lain.
“DAP perlu mengangkat barisan pelapis untuk memenuhi kerusi yang akan dikosongkan oleh beberapa pemimpin veteran. Tetapi ada juga pemimpin veteran yang akan kekal,” tambah seorang sumber parti itu.
Antara tokoh veteran yang masih berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti termasuklah Ahli Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw (wakil rakyat sejak 1982), Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun (sejak 1999) dan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai (sejak 1995).
“Ada pemimpin muda yang masih belum diketengahkan dalam pilihan raya. PRU14 ini peluang terbaik mereka untuk bertanding,” kata sumber itu, sambil memberikan contoh Dyana Sofia Mohd Daud yang kalah dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Intan pada 2014.
Parti yang dikuasai oleh kaum Cina itu meletakkan lebih ramai calon Melayu sejak dua pilihan raya umum yang lepas, sehingga menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan parti Melayu seperti Umno, PKR dan PAS. – TMI