Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji memberi peringatan kepada rakyat Malaysia bahawa harga minyak serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah dua perkara yang hampir pasti naik melambung sekiranya BN menang lagi pilihan raya umum (PRU) ke 14
Katanya, pentadbiran PM Najib Razak yang kekurangan wang tidak akan mempunyai cara lain untuk menjana pendapatan negara melainkan memeras lebih banyak wang dari saku rakyat. Buktinya, menurut beliau, harga minyak RON 95 naik buat minggu ketiga berturut-turut walaupun harga di peringkat antarabangsa tidak mengalami kenaikan yang banyak.
“Harga minyak di pasaran tempatan akan dinaikkan walaupun harga di pasaran dunia stabil. Kerajaan sekarang amat perlukan wang dari rakyat untuk menjelaskan hutang 1MDB kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada bulan Ogos ini dan cara yang cepat dan mudah untuk kerajaan mendapatkan wang rakyat ialah dengan menaikkan harga minyak,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab itu kepada Suara pakatan daily.
Harga minyak RON95 dan RON97 meningkat sekali lagi pada 8 Ogos lalu. Harga RON95 naik 3 sen kepada RM2.15 dan RON97 naik 4 sen menjadi RM2.43. Kenaikan tersebut tidak wajar kerana harga minyak di pasaran dunia berdasarkan indeks ‘Brent crude oil’ menunjukkan julat yang konsisten pada AS$51.00 setong – AS$50.39 sepanjang minggu lalu.
Selain itu, Tengku Zulpuri juga menjangkakan kadar GST mungkin akan meningkat kepada 8% selepas PRU 14.
“Kenaikan GST belum ditentukan lagi tetapi sekurang-kurangnya kadar yang baru mungkin 8%. Tidak mustahil juga lebih daripada itu. Kerajaan BN amat perlukan wang untuk operasi dan pengurusan harian dan wang ini akan dikorek dari saku rakyat.
“Justeru itu, kalau rakyat mengundi BN sekali lagi maka pada masa depan kita bolehlah makan roti dan mi segera saja setiap hari,” sinis beliau.
Beliau juga menegaskan, dari pemerhatian tindak-tanduk pemimpin BN, tarikh PRU14 mungkin seawal bulan September ataupun Oktober sebelum Belanjawan 2018 dibentangkan.
“Gula-gula PRU14 sekarang banyak dan sedang diedarkan oleh kerajaan. Saya pikir selepas hutang 1MDB dilunaskan maka Parlimen dibubarkan.
“Harga petrol dan diesel akan turun sekejap tetapi akan naik semula dengan cepat jika BN menang.
“Oleh itu, rakyat harus bijak mengundi sebab Pakatan Harapan (PH) sudah pasti akan menurunkan harga minyak kepada kurang dari RM1.40 seliter dan memansuhkan GST dengan serta-merta,” tegas Tengku Zulpuri.