Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa menegaskan tiada mana-mana parti komponen Pakatan Harapan boleh membuat keputusan bersendirian termasuk dalam hal berkaitan rundingan dengan Pas.
Menurutnya, sebarang keputusan akhir hanya akan dimuktamadkan dalam Pakatan Harapan yang terdiri daripada AMANAH, PKR, DAP dan Bersatu.
“Walaupun siapa yang pergi berunding dengan Pas akhirnya keputusan dalam Pakatan. Tiada satu parti boleh buat keputusan sendiri,” katanya dalam dialog anjuran AMANAH Taiping di Bukit Gantang, Perak semalam.
Menjawab soalan peserta berkenaan rundingan kerjasama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau berkata, kepimpinan Pas pada masa ini sudah berbeza.
“Pas yang ada sekarang bukan yang dulu. Sekarang nak berunding dengan Pas yang telah diBR1Mkan oleh pihak-pihak tertentu.
“Yang pergi bukan calang-calang orang. Datuk Seri Azmin yang pergi. Kalau saya pergi (ziarah), Ustaz Hadi sudah tutup pintu awal-awal lagi,” ujarnya.
Husam menganggap kunjungan Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan bersama Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 12 Ogos lalu sebagai satu hal positif.
Menurutnya, pengundi atas pagar akan melihat pendekatan tersebut sebagai bertatasusila dengan tidak sengaja meninggalkan Pas sekali gus menafikan dakwaan negatif sebelum ini termasuk kononnya Pakatan Harapan menjadi ‘alat Cina’.
Walau bagaimanapun, beliau percaya rundingan yang diusahakan Menteri Besar Selangor itu sukar mencapai matlamatnya memandangkan sikap Pas yang sudah diketahui umum.
“Cuma saya kasihan dengan Azmin. Kita tidak boleh buat apa dengan Pas. Kita terpaksa meneruskan perjuangan kita,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor tersebut berkongsi pengalaman rundingan kerjasama antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ALmarhum Tuan Guru Nik Aziz sebelum ini.
“Kalau awal-awal lagi berkokok, telur tiada lagi, susahlah. Jadi, biar telur satu raga dulu, baru kita isytihar (pertemuan dan rundingan).
“Ini pengalaman saya dengan Anwar Ibrahim. Masa dia datang jumpa Tok Guru Nik Aziz, tiada orang tahu. Tok Guru Nik Aziz masa mesyuarat cakap, ‘kita kena kerjasama dengan Anwar’. Jadi, kerjasama itu.
“Buat dulu (berunding) senyap-senyap, baru hebohkan. Kalau awal-awal hebohkan rasa saya tak menjadi,” jelasnya.
Husam turut berkata, 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dikuasai Pas pada masa ini perlu diserahkan kepada AMANAH dan Bersatu bagi agihan kerusi pada pilihan raya akan datang.
Langkah tersebut, ujarnya, harus dilakukan atas faktor termasuk penolakan pengundi Cina terhadap Pas.
“Jadi, nak menyelamatkan kerajaan Selangor tak boleh bagi kerusi itu pada Pas walaupun sayang pada dia,” kata Husam lagi. – MD