Tindakan kerajaan Malaysia yang membawa pulang pelajar negara ini di Mesir seharusnya diberi pujian. Namun kini timbul pula persoalan bagaimanakah para pelajar ini akan pergi semula ke Mesir setelah keadaan kembali pulih untuk meneruskan pengajian.
Bagi ibu-bapa yang berkemampuan tentunya tidak menjadi masalah menyediakan kos pengangkutan tetapi bagi keluarga yang tidak berada dan hanya mengharapkan biasiswa ia menimbulkan satu beban baru kepada mereka.
Hal itu dipersoalkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) yang meminta Kerajaan Perak memberi penjelasan bagaimanakah pelajar negeri itu akan dihantar semula ke Mesir, sama ada ditaja tiket kapal terbang oleh kerajaan atau menggunakan kewangan sendiri
“Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) meminta jaminan Kerajaan Negeri Perak berhubung kos tambang pemergian kembali pelajar-pelajar rakyat Negeri Perak yang kini dalam proses pulang ke tanah air.
“Perkara tersebut seperti terlepas pandangan pihak Kerajaan Negeri walaupun Kerajaan Pusat kini sedang berusaha membawa pulang semua rakyat Malaysia . Tetapi selepas ini akan timbul pula persoalan tentang kos tambang pelajar yang ingin kembali semula ke Mesir di atas tanggungan siapa? Apakah pendirian Kerajaan Negeri Perak bagi menjaga kebajikan pelajar Perak yang masih belum menamatkan pengajian mereka di sana?” soal Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Zawawi Hassan.
Bagi Zawawi, amat baik sekiranya Kerajaan Perak menaja tambang untuk pergi semula ke Mesir sebagaimana kerajaan Malaysia menaja kos membawa mereka pulang.
“DPPN Pk inginkan jaminan, bahawa Kerajaan Negeri Perak akan membayai kos tambang pergi semula pelajar ke sana setelah kemelut di Mesir berakhir. Pengajian pelajar ini akan terabai akibat menanggung kos tambang di luar jangkaan mereka.
“DPPN Pk berharap Kerajaan Negeri dapat menjelaskan kedudukan sebenar, agar semua Ibu Bapa lega dengan jaminan Kerajaan Negeri Perak akan menanggung kos perbelanjaan kecemasan ini untuk semua pelajar Perak kembali semula menyambung pengajian jika Kerajaan Pusat tidak menguruskan hal itu (pemergian kembali mereka ke sana),” katanya.