Pertentangan pendapat dalam PKR tentang nilai kerjasama dengan PAS untuk pilihan raya umum akan datang nampaknya menembusi parti itu dari kepimpinan tertinggi hingga ke akar umbi.
Pertentangan pendapat itu digariskan dalam kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini dan sidang media oleh pimpinan akar umbi di Selayang yang mengelirukan.
Rafizi percaya perbezaan pertentangan pendapat dalam kalangan pimpinan kanan parti akan berterusan.
Mulai sekarang, beliau menyeru isu itu ditentukan akar umbi, menekankan betapa perlu parti memuktamadkan pendirian mengenai kerjasama dengan PAS menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, kepercayaan Rafizi yang penyelesaian boleh dicari dalam kalangan akar umbi mungkin meleset kerana ahli bawahan juga keliru, melihat kepada pendapat berlainan di sidang media di Selayang.
Sidang media dipanggil ahli bawahan untuk menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen William Leong Jee Keen yang meletak jawatan dari biro politik parti kerana kepimpinan PKR bertegas mahu mencari satu bentuk kerjasama dengan PAS.
Kumpulan 50 orang itu, diketuai pembantu William, Chee Chu Sang berkata, akar umbi menyokong tindakan dan alasan peletakan jawatan itu.
“Kami menggesa presiden parti pertimbangkan sebab-sebab beliau demi kebaikan parti,” kata Timbalan Ketua Pemuda PKR Selayang V Anmuniandy.
William, yang meletak jawatan pada Isnin, berkata beliau masih kekal sebagai ahli PKR dan wakil rakyat Selayang. Beliau juga berkata beliau tidak akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum nanti.
Bagaimanapun, Adun PKR Gan Pei Nei pada sidang media itu berkata parti harus mengamalkan pendekatan terbuka dan meneruskan rundingan dengan PAS demi parti dan matlamat semasa.
“Secara umumnya gabungan pembangkang berkongsi matlamat yang sama, iaitu melawan Barisan Nasional dan mengubah keadaan politik negara,” katanya.
Tetapi Gan mahu rundingan dengan PAS itu diberi tempoh masa.
“Rundingan perlu diselesaikan dalam tempoh masa itu. Kamu tidak boleh asyik berunding sampai bila-bila kerana pilihan raya umum semakin dekat,” katanya.
Sebaliknya, Chee, yang merupakan ketua PKR bahagian Taman Seri Melati, berkata PAS mesti tunjukkan keikhlasan jika rundingan itu mahu diteruskan.
“Kita tak rasa PAS ikhlas mahu bersama kita. Kita rasa kita tidak perlukan PAS.
“Kalau PAS mahu gabungan pembangkang, mereka mesti tunjukkan mereka ikhlas melawan BN,” kata Chee.
Gan pula menyerahkan isu kerjasama dengan PAS kepada kebijaksaan kepimpinan PH dan PKR.
“Kita harus kumpulan kekuatan untuk melawan BN. Kalau kamu mahu serang, serang BN, bukan serang sesama sendiri,” tambahnya. – FMT