Gerakan Aktivis Harapan (GAH) menggesa pimpinan Pakatan Harapan (PH) bertindak tegas kepada puak tertentu dalam PKR yang masih terus berunding dengan Pas biar pun parti pembangkang itu memperlihatkan sikap enggan bekerjasama.
Jurucakap GAH, Zanirun Baba berkata, sebahagian pemimpin dalam PKR terbabit yang digelar ‘puak kartel’ dan setia dengan kepimpinan Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali wajar memikirkan semula strategi mereka untuk melibatkan Pas dalam pertandingan satu lawan satu berikutan beberapa siri pendedahan kerjasama tidak rasmi Pas – BN, termasuk yang disiarkan akhbar Straits Times Singapura baru-baru ini, mendakwa Hj Hadi dan PM Najib Razak merancang untuk menawan Selangor.
Menurut Zanirun, Azmin dan kelompoknya harus menerima kenyataan bahawa Pakatan Harapan telah wujud dan berpotensi untuk menang dalam pilihan raya umum ke 14, sementara Pas amat cenderung kepada BN.
“GAH ingin menasihatkan Azmin supaya sedar bahawa PH telah wujud sebagai sebuah keluarga besar dan mengukuhkan sokongan.
“Dia mahu atau tidak harus menerima kondisi sekarang, jika tidak kelompoknya akan dilabel sebagai entiti yang tidak punya maruah kerana masih mahu bersenggama dengan bekas pasangan (Pas) selepas bercerai.
“Seperti yang GAH telah menyatakan sebelum ini bahawa kelompok Azmin tidak membantu PH, sebaliknya akan merosakkan PH dari dalam.
“Oleh itu, PH harus menimbangkan secara serius untuk menjarakkan diri daripada kelompok kartel memandangkan pendekatan mereka akan merugikan PH,” katanya dalam satu kenyataan media.
GAH juga memuji pendirian berprinsip ahli parlimen Selayang William Leong Jee Keen yang meletak jawatan daripada Biro Politik PKR kerana membantah rundingan tanpa hujung dan agenda yang jelas dengan Pas.
“YB William Leong meletak jawatan daripada Biro Politik PKR susulan ketidakpuasan hati terhadap beberapa pemimpin PKR yang masih lunak untuk mempelawa kerjasama politik dengan Pas.
“Beliau juga menyatakan sikap beberapa kerat pemimpin PKR adalah tidak konsensus.
“GAH bersama-sama William dalam perkara ini, malah memandang bahawa Azmin Ali dan beberapa kerat kelompoknya gagal berfungsi sebagai seorang Pengarah Pilihanraya PH yang baik.
“GAH ingin menyatakan kepada Azmin bahawa tugas Pengarah Pilihanraya bukanlah seorang perunding (negotiator) dengan musuh politik.
“Bukan sahaja Azmin gagal membentuk sekretariat PH di negerinya, malah dia juga gagal menguruskan jentera pilihanraya PH dengan baik pada saat ini,” tambah beliau.
Selain itu, GAH memberi amaran kepada PH agar berhati-hati dengan puak yang mahu memonopoli jawatan penting PH di peringkat negeri walaupun sebelum ini puak tersebut menentang keras penubuhan PH dan memuja Pas.
“GAH menyedari beberapa jawatan PH kini sedang dicatur di beberapa negeri.
“Mereka cuba menempatkan diri mereka seolah-olah wujud peranan penting, sungguh pun selama ini merekalah yang tidak mempedulikan kewujudan PH.
“Hakikatnya penglibatan mereka di dalam program bersama komponen parti PH sangat minima dan mendukacitakan.
“GAH berpendirian bahawa pentandingan satu lawan satu adalah opsyen yang terbaik bagi PH.
“Namun, memandangkan PAS tidak mempunyai ciri-ciri untuk meletakan hal-hal massa bagi menentang keangkuhan Umno-BN. Maka PH tidak punya opsyen lain, melainkan bergerak terus melawan BN dan mereka yang membantu BN seperti Pas dan kartel,” kata beliau.