Kerajaan sepatutnya sudah menahan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersabit amanat politiknya yang dikenali sebagai Amanat Hadi Awang, kalau bukan kerana tindakan itu mungkin menimbulkan lebih banyak lagi kekacauan selepas peristiwa Memali, kata Dr Mahathir Mohamad.
“Hadi sepatutnya telah ditahan di bawah ISA. Tetapi selepas mempertimbangkan langkah itu boleh menyebabkan huru-hara akibat ramai penyokongnya yang taksub, dia tidak ditangkap,” kata bekas perdana menteri itu dalam satu majlis tertutup dengan pemimpin tempatan di Kuala Terengganu petang tadi.
Mahathir juga mengulangi kenyatannya beberapa hari lalu, Amanat Hadi antara punca berlakunya peristiwa Memali.
Pengerusi Bersatu itu berkata pengikut Hadi yakin mereka akan mati syahid jika mati ketika berjuang menentang kerajaan dan Umno kerana kerajaan dan Umno adalah kafir.
Dalam satu ceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981, Hadi telah memberikan ucapan yang terkenal yang kemudian jadi sejarah hitam dalam perhubungan antara Umno dan PAS. Petikan yang diberi nama Amanat Hadi itu kemudiannya dicetak oleh penyokong PAS dan disebar ke seluruh negara.
Ucapan itu dianggap titik penting dalam politik orang Melayu pada dekad 1980-an yang menyaksikan perpecahan terburuk orang Melayu sehingga melibatkan tuduhan kafir-mengkafir, sembahyang dua imam dan pulau-memulau dalam kegiatan masyarakat termasuk urusan jenazah.
Lima tahun selepas ucapan itu, iaitu pada 1986 berlakunya peristiwa Memali di Baling, Kedah yang membunuh Ibrahim Mahmood atau Ibrahim Libya bersama 13 penyokongnya yang bertahan ketika polis datang untuk menangkap guru mereka itu. Empat anggota polis turut terbunuh.
Menurut Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen, polis bertindak mengikut undang-undang. Kertas Putih itu juga menyebut Amanat Hadi sebagai punca yang mempengaruhi pemikiran radikal melawan kerajaan Malaysia dan Umno sebagai jihad yang dijanjikan syurga.
Bekas Ketua Polis Negara Abdul Rahim Noor berkata Malaysia bernasib baik kejadian di Memali tidak berulang atau merebak di tempat-tempat lain kerana ucapan Hadi yang dikenali sebagai Amanat Hadi sudah mempengaruhi banyak orang pada ketika itu.
Katanya, Amanat Hadi itu bukan saja mempengaruhi guru agama Ibrahim Libya tetapi banyak lagi pemuda parti Islam itu.
“Dia (Hadi) menghasut apabila dia kata kalau kita terkorban dalam perjuangan melawan Umno sebagai sebuah parti yang mengamalkan dasar-dasar penjajah, mati kita mati syahid.
“Alhamdulillah, yang berlaku hanya Ibrahim Libya. Kalau meletup sana-sini, Ibrahim Libya Johor, Ibrahim Libya Pulau Pinang dan tempat-tempat lain, habis negara kita, habis polis.
“Nasib baik ada satu saja Ibrahim Libya, kerana Amanat Hadi ini terlalu keras dan menghasut,” kata Rahim dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight sebelum ini. – TMI