Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mahu Kabinet mengambil pendirian menolak jemputan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melawat Rumah Putih bulan depan.
Kit Siang berkata, Najib tidak wajar menerima jemputan Trump sehingga isu tindakan perundangan yang dibawa Jabatan Kehakiman (DoJ) AS dalam isu penggunaan dana berkaitan 1MDB selesai.
“Mesyuarat Kabinet pada Rabu ini, menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos, perlu memutuskan Najib tidak wajar melawat Rumah Putih demi menjaga kehormatan dan martabat negara,” kata beliau dalam ucapannya di Kuala Terengganu. Teks ucapan dikeluarkan hari ini.
Ahli Parlimen Gelang Patah ini berkata beliau tidak bersetuju dengan pandangan pakar strategi dan propaganda Umno dan BN yang mendakwa lawatan Najib ke Washington pada 12 September ini sebagai 1 langkah hebat beliau sebelum memanggil Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Saya tidak bersetuju,” kata beliau.
Beliau seterusnya berkata: “Lawatan Najib ke Rumah Putih dan pertemuan dengan Trump telah menimbulkan persoalan seperti ‘MO1 vs US01’… adakah Najib akan menang ke atas Trump’ atau ‘adakah Trump mengatasu Najib?”
Selain itu, menurut Kit Siang, Najib tidak wajar menerima jemputan Trump kerana sebelum ini banyak pihak termasuk pemimpin Umno dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri mendakwa tindakan DoJ merupakan 1 bentuk campur tangan ke atas Malaysia.
Kata Kit Siang, sekurang-kurangnya Najib perlu mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja skandal 1MDB sebelum berlepas ke Washington untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia, AS dan dunia yang beliau serius dalam menangani isu MO1 dan 1MDB.
Katanya, terdapat banyak sebab lain mengapa lawatan Najib itu paling menghina kehormatan dan reputasi negara Malaysia.
“Menteri-menteri Malaysia dan pegawai-pegawai tertinggi Najib menuduh Kerajaan AS campur tangan dalam hal ehwal domestik Malaysia.”
Dalam tindakannya, DoJ memohon kebenaran mahkamah untuk merampas aset-aset yang dibeli dipercayai menggunakan dana 1MDB.
DoJ memohon untuk merampas aset bernilai sekitar AS$540 juta (RM2.3 bilion) termasuk kerja-kerja seni, barang kemas dan hak-hak filem, yang dipercayai telah dibayar dengan dana yang disalur keluar dari 1MDB.
Antara lain, DoJ memohon melucut hak hartanah seperti hotel Park Lane di New York, sebuah hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, jet peribadi, kerja-kerja mahal seni, serta pembiayaan filem The Wolf of Wall Street, yang dibintangi Leonardo DiCaprio.
DoJ mendakwa dari 2009 hingga 2015, lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) yang dimiliki oleh 1MDB telah dibawa keluar oleh pegawai peringkat tinggi dana itu dan sekutu mereka. Syarikat 1MDB merupakan idea Najib tidak lama selepas mengambil alih daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada April 2009.
Awal bulan ini, DoJ meminta mahkamah Los Angeles agar menggantung buat sementara permohonan sivil yang bertujuan merampas aset yang diperolehi ahli perniagaan kelahiran Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low.
Menurutnya, meneruskan permohonan itu akan menjejaskan siasatan jenayah terhadap firma milik kerajaan Malaysia yang kehilangan berbilion dolar.
Seorang ejen FBI pula dilaporkan memberi amaran maklumat yang didedahkan dalam kes sivil itu mungkin mendedahkan “sasaran yang berpotensi dan subjek siasatan serta teknik siasatan yang pernah dan akan digunakan dalam siasatan.” – FMT