Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata keputusan memecat Ketua Pemuda PKR Kelantan, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran dibuat sebagai memenuhi permintaan ahli parti di negeri itu dan selepas perbincangan minggu lepas.
Nik Nazmi berkata, keputusan itu dibuat selepas Pemuda PKR Pusat dan negeri mengadakan perbincangan minggu lepas.
“Keputusan ini dibuat selepas ‘follow up’ minggu lepas semasa saya berada di luar negara, pimpinan Pemuda Pusat turun ke Kelantan dan bertemu Pemuda Kelantan termasuk Hafidz Rizal.
“Jadi kita dapat maklum balas daripada Pemuda Kelantan, dari situ kita buat keputusan dan disampaikan kepada presiden dan keputusan untuk tukar dibuat,” katanya kepada FMT.
Nik Nazmi juga menafikan keputusan pemecatan Hafidz Rizal susulan kecenderungan beliau bekerjasama dengan PAS dan membantah keputusan PKR Pusat mengarahkan ahli PKR Kelantan melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri.
“Keputusan itu tidak ada kaitan dengan dakwaan itu, ia dibuat disebabkan permintaan daripada Pemuda sendiri,” katanya.
Pergolakan dalaman PKR Kelantan meningkat kepada episod baharu, selepas Hafidz Rizal dipecat sebagai ketua Pemuda negeri.
Hafidz Rizal berkata pemecatan itu dimaklumkan Nik Nazmi menerusi pesanan WhatsApp awal pagi tadi.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata pihaknya sudah menghantar surat pemecatan rasmi Hafidz Rizal dan pesanan menerusi WhatsApp dibuat sebagai makluman awal.
“Kita buat keputusan untuk melantik ketua Pemuda Kelantan yang baharu, pemecatan itu berkuatkuasa serta-merta bermula hari ini dan surat rasmi kita telah hantar, cuma saya maklumkan menerusi WhatsApp kepada dia dulu untuk makluman awal,” katanya.
Minggu lalu, AJK PKR Kelantan melancarkan 1 memorandum supaya Hafidz Rizal dan Pengerusi PKR negeri, Ab Aziz Ab Kadir melepaskan jawatannya, yang turut disokong Pengarah Pilihan Raya PKR Kota Bharu, Ahmad Syauqey Abdul Ghani. – FMT