Pembahagian negeri kepada parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dibuat berdasarkan kepada personaliti, jumlah kerusi yang dipegang dan faktor lain, kata pemimpin parti.
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata walaupun jumlah kerusi dipegang parti komponen, terutama DAP dan PKR diambil kira, keputusan juga dibuat berdasarkan kepada personaliti negeri dan siapa yang boleh mengetuai gabungan itu dengan berkesan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata setiap parti mencadangkan pemimpin pilihan mereka.
“Setiap negeri diketuai pemimpin PH yang terkenal dengan pengalaman dan senior. Setiap parti setuju siapa yang terbaik mengetuai gabungan di negeri berkenaan.
“Pembahagian negeri agak seimbang dengan Bersatu dan PKR masing-masing ada empat negeri dan DAP dan Amanah dengan tiga negeri setiap satu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mesyuarat Majlis Presiden PH mengesahkan pembahagian kepimpinan negeri pada Isnin, dengan seorang sumber memberitahu The Malaysian Insight yang PKR akan mempengerusikan PH di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah.
Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa berkata memandangkan Bersatu dan Amanah masih baru dan mempunyai kerusi paling sedikit di Dewan Rakyat dan DUN, jumlah kerusi dipegang tidak memainkan peranan dalam memutuskan pembahagian negeri.
Beliau berkata personaliti menjadi faktor dalam keputusan dibuat majlis presiden PH itu.
Beliau memetik kes Adly Zahari, daripada Amanah Melaka di mana parti itu tidak mempunyai kerusi di 28 kerusi DUN. Hanya DAP dan PAS masing-masing ada lima dan satu kerusi dalam kalangan parti pembangkang.
“Tetapi Adly bukan muka baharu, dia anak tempatan, usahawan dan bekas pesuruhjaya PAS negeri. Kami bersama dalam Pemuda PAS ketika saya berada di Melaka,” kata Mujahid.
Penganalisis politik Hisomuddin Bakar berkata dengan mengagihkan negeri kepada parti berbeza mungkin bermakna memberikan parti “negeri anchor”.
Beliau berkata ia memberi petanda parti mana yang akan mengambil jawatan tertinggi – menteri besar atau ketua menteri – jika PH menang di negeri itu.
“Pengerusi PH negeri, yang akan memformulasikan strategi memenangi DUN dan mengetuai gabungan dalam PRU, mungkin menjadi MB,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Hisomuddin yang juga pengarah eksekutif Ilham Centre berkata PH mungkin melihat kepada kerusi Parlimen dan DUN di setiap negeri, kerja parti di akar umbi dan sentimen rakyat serta penerimaan terhadap parti komponen berkenaan.
“Contohnya di Kedah, PH mungkin mempertimbangkan populariti Mukhriz Mahathir, kerana beliau bekas menteri besar di sana,” katanya.
Bagi negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor yang sudah pun dikawal DAP dan PKR masing-masing, tidak ada pertikaian, tetapi parti PH akan perlu berunding dan memberi cadangan untuk meyakinkan kepimpinan untuk memberi mereka mengetuai negeri lain.
“Ada yang bertanding sebelum ini tetapi gagal memenangi kerusi, jadi mereka sudah pasti perlu berunding,” katanya.
Dengan Bersatu dan Amanah turut serta bertanding dan mahukan kerusi, Hisomuddin berkata rundingan dengan bekas sekutu pembangkang PAS mungkin akan menyebabkan masalah.
“Amanah sudah pasti mengintai kerusi PAS. PKR berunding dengan PAS, di Selangor misalnya, boleh menyebabkan masalah untuk kerusi Amanah.
“Bekerjasama dengan PAS akan mengganggu keseluruhan proses rundingan kerusi untuk semua parti PH bila PRU semakin dekat,” katanya.
PH mengeluarkan kenyataan selepas tengah malam mengisytiharkan tidak akan bekerjasama dengan PAS, mengakhiri spekulasi selama berbulan lalu dan ketidaktentuan kedudukan gabungan itu terhadap parti Islam berkenaan. – TMI
Pembahagian mengikut negeri:
PKR: Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah.
Bersatu: Johor, Perak, Kedah dan Perlis
DAP: Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak
Amanah: Kelantan, Terengganu dan Melaka