Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Ir Khalid Samad mempertikaikan hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendakwa sokongan rakyat ke atas parti itu hanya 1% di Kelantan.
Katanya, keputusan kajian biasanya berbeza-besa bergantung kepada apakah soalan yang ditanya dan kepada kelompok mana yang ditemuramah.
“Keputusan tinjauan bergantung kepada siapa yang sedang membuat kajian dan siapa yang telah diwawancara. Memandangkan kajian itu menunjukkan keputusan yang nampaknya akan melemahkan semangat Pakatan Harapan (PH) apabila tarikh PRU14 sudah dekat, saya rasa kita perlu berjaga-jaga dan jangan terlalu mempercayai tinjauan itu.
“Bagi saya, Amanah tidak rasa gentar atau pun takut dengan keputusan kajian itu,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Tambah Khalid, tunjauan berkenaan tidak mewakili mood majoriti pengundi di Kelantan, buktinya semua program Amanah di negeri itu mendapat sambutan yang hangat dan memberangsangkan
“Sekiranya benar rakyat Kelantan amat ‘tidak berminat’ terhadap Amanah, sepatutnya program atau pun ceramah di Kelantan akan suram sahaja, tetapi keadaan tidak begitu.
” Apabila kita beri ceramah mengenai isu harga barang naik terutamanya kenaikan harga minyak dan hasrat Pakatan untuk menurunkan kos sara hidup, semua pendengar di setiap ceramah itu menyatakan persetujuan mereka dengan sorakan yang gemuruh.
“Oleh itu, Amanah tidak rasa resah atau pun gelisah dengan keputusan tinjauan yang tidak memihak kepada kami,” sambung Khalid.
Khalid berpendapat apabila tarikh pilihan raya semakin dekat, biasanya akan timbul banyak kajian yang akan menunjukkan PH akan kalah teruk. Situasi berkenaan biasa dialami oleh pembangkang sejak puluhan tahun lalu.
“Situasi begini, iaitu perang psikologi sebelum pertarungan pilihan raya bermula merupakan satu perkara biasa.
“Kami sudah sedia menghadapinya dan tidak akan membenarkan apa-apa kajian atau analisis untuk melemahkan semangat perjuangan. Yang penting kita dan rakan-rakan seperjuangan mesti cukup bersedia kerana tidak lama lagi wisel permulaan perlawanan akan ditiup,” katanya.
Baru-baru ini, Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor (Pentadbiran, Perancangan & Jaringan Global) Universiti Selangor (UNISEL) Prof Dr Mohd Nor Nawawi mendedahkan bahawa Amanah hanya mempunyai kira-kira 1% sokongan di Kelantan, sebagaimana keputusan kaji selidik yang dilakukan IDE.
Bagaimanapun, kajian itu dipertikaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff yang berkata dapatan tersebut terkeluar daripada logi akal.