Oleh : Al Fadhil Ustaz Mohd Nurul Hafiz
Satu KUPASAN isu yang baik oleh Pelajar Master di Universiti Ummul Qura, Makkah
Persoalan :
Adakah pelajar-pelajar yang dibawa keluar dari Mesir yang berada di Arab Saudi sekarang layak menerima zakat atau tidak?
Jawapan :
1. Dari sudut situasi mereka :
Andai kita melihat kepada situasi mereka yang akan dibawa pulang ke Malaysia dan melakukan transit di Jeddah terlebih dahulu, kita dapati sebahagian besar daripada mereka langsung tidak ada persediaan untuk bermusafir pulang ke Malaysia .
Ini dapat dilihat kerana sebahagian daripada mereka ada yang datang sehelai sepinggang tanpa membawa bekalan kewangan atau pakaian yang cukup.
Ada juga daripada mereka yang bersiap untuk pulang ke Malaysia tetapi kerana terkandas di lapangan terbang Mesir beberapa hari menyebabkan duit poket habis digunakan untuk membeli makanan di lapangan terbang yang harganya melambung tinggi dan ditambah buruk lagi apabila duit tidak dapat diambil melalui mesin ATM.Akibatnya keadaan mereka juga terputus bekalan kewangan untuk pulang ke Malaysia.
2. Melihatkan situasi mereka sebegini adakah ada ruang untuk mereka menerima zakat daripada mereka yang berkemampuan?
Jawabnya YA!
Dalilnya diterangkan oleh Allah Ta’ala dalam surah at Taubah ayat 60:
إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَـٰكِينِ وَٱلۡعَـٰمِلِينَ عَلَيۡہَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُہُمۡ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَـٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةً۬ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَڪِيمٌ۬
التوبة: ٦٠
Maksudnya : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan bekal) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (60)
Antara asnaf lapan atau mereka yang layak menerima zakat ialah lapan golongan, salah satu daripada lapan golongan ini yang disebutkan oleh Allah Ta’ala ialah Ibn Sabil (orang-orang musafir (yang keputusan bekal) dalam perjalanan).
3. Apakah pendapat ulama’ dalam menafsirkan ibn Sabil dalam ayat di atas?
v Imam at Tabari dalam tafsirnya Jami’ al Bayan menafsirkan Ibn Sabil orang yang bermusafir dari satu Negara ke Negara yang lain.
v Berkata Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya Tafsir al Quran al Azim Ibn Sabil ialah Orang yang merantau dan tidak mempunyai bekalan untuk meneruskan perjalanannya,maka hendaklah diberi zakat dan sedekah kepadanya untuk sampai ke Negara yang berikutnya.
v Syeikh Qardhawi menyebut maksud Ibn Sabil dalam kitabnya Fiqh Zakat: Di sisi Jumhur Ulama, Ibn Sabil ialah orang bermusafir dari satu Negara ke satu Negara.
Dari Ibn Zaid katanya : ‘Ibn Sabil ialah orang yang bermusafir sama ada kaya atau miskin, tiba-tiba dalam masa perjalanannya di timpa musibah sama ada kehilangan bekalan,rosak bekalan tersebut atau kehabisan bekalan yang dibawa, maka wajib mereka dibantu dengan zakat dan sedekah.
Kesimpulannya :
Jadi di sini bolehlah kita simpulkan daripada pendapat Ulama’ bahawa zakat boleh diberikan kepada pelajar-pelajar Mesir yang berada di Jeddah untuk membantu dari segi kewangan mereka sehinggalah mereka selamat sampai di Malaysia sekali pun mereka tergolong dalam orang yang kaya di tanah air sendiri berdalilkan hadith Rasulullah SAW :
عن أبي سعيد الخدري، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: لا تحل الصدقة لغني إلا لثلاثة: في سبيل الله، أو ابن السبيل، أو رجل كان له جار فتصدق عليه، فأهداها له
Maksudnya : Dari Abi Said al Khudri dari Nabi SAW bersabda : “Tidak halal sedekah(zakat) kepada orang kaya kecuali dalam tiga keadaan : Dalam jihad di jalan Allah atau Ibn Sabil atau seseorang (yang kaya) yang mempunyai jiran lalu ia bersedakah kepada jirannya kemudian jirannya memberi hadiah kepadanya.”
(Visited 162 times, 1 visits today)