Rafizi Ramli berkata berbeza pendapat tidak dilihat sebagai satu masalah dalam PKR, dan kebebasan itu yang membezakan parti reformasi itu dengan Umno dan PAS.
Naib presiden PKR itu berkata demikian apabila diminta menjelaskan perbalahannya dengan Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali.
“Dalam PKR tak ada masalah. Saya terangkan satu persatu kenapa berbeza pendapat, dari masa asas mereka yang mahu terus berunding dengan PAS untuk elakkan 3 penjuru, apa asas saya bahawa itu tidak membantu kita dan Pakatan Harapan. Itu perkara biasa.
“Dalam Umno tak tahu lah…salah sebut akan dipecat, dalam PAS salah sebut dipanggil kafir,” katanya pada sidang media yang disiarkan di Facebook.
Beliau menjawab komen seorang pengunjung Facebook yang bertanyakan mengapa beliau mahu menjatuhkan Azmin Ali kerana timbalan presiden parti itu mengadakan rundingan dengan PAS.
Rafizi menambah pandangan yang disuarakan itu sebenarnya turut dirasai sebahagian besar rakyat yang ditemui.
“Pandangan saya mengenai kerjasama dengan PAS tu turut dikongsi ramai akar umbi parti dan Pakatan Harapan,” katanya.
Pada Sabtu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata rundingan dengan pemimpin PAS bukan dibuat atas kapasiti perbadi tetapi keputusan parti.
Menurut Azmin, rundingan itu bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru di Selangor dan meningkatkan peluang kemenangan PKR dan parti pembangkang lain.
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution bagaimanapun menafikan parti pernah membuat keputusan seperti yang disebutkan Azmin itu.
Rundingan dengan PAS itu juga tidak dipersetujui sesetengah pemimpin parti, termasuk Ahli Parlimen Selayang William Leong, yang mengumumkan meletak jawatan dari biro politik PKR baru-baru ini.
Pada Isnin, majlis presiden PKR mengadakan mesyuarat yang dihadiri pimpinan tertinggi PKR, DAP, Amanah dan PPBM sepakat menolak kerjasama dengan PAS. – FMT