Seorang ahli Parlimen pembangkang berkata kerajaan harus menggunakan dividen RM3 juta yang dijangka diterima dari Petronas untuk mengembalikan subsidi minyak daripada menggunakannya untuk perjalanan ke luar negara.
“Dividen itu akan dibelanjakan dalam baki 4 bulan tahun ini. Itu adalah tempoh masa yang pendek,” kata Ahli Parlimen Rafizi Ramli pada sidang media yang disiarkan di Facebook hari ini.
“Ia satu penghinaan kalau dividen tambahan dibelanjakan untuk perkara lain yang tidak memberi manfaat langsung kepada masyarakat, seperti berkempen atau keluar negara.”
Beliau membuat gesaan itu selepas Presiden Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin minggu lepas mengumumkan kumpulan itu akan membayar dividen tambahan kepada kerajaan, selain dividen RM13 bilion yang diumumkan sebelum ini.
Wan Zulkiflee mengumumkan keuntungan sebelum cukai RM26.1 bilion, lebih tinggi daripada RM10.3 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata keuntungan lebih besar itu berikutan purata harga minyak yang lebih tinggi, dan kedudukan kos operasi yang 5% lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut Rafizi, pengiraan beliau menunjukkan ketika harga minyak mentah dunia turun 50% sejak 2015, harga rON95 yang dijual di Malaysia meniingkat pada purata 5 sen seliter.
Purata harga RON95 pada 2014 ialah RM2.10 seliter tetapi tahun ini RM2.15 walaupun harga minyak dunia menunjukkan penurunan, kata Rafizi.
Beliau berkata sejak mekanisme harga petrol mingguan diperkenalkan pada April, harga RON95 naik 12 kali, kekal 3 kali dan turun 6 kali.
“Ternyata orang ramai tidak untung apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menghapuskan subsidi minyak dan melaksanakan mekanisme harga mingguan.
“Jika keadaan ini berterusan, harga RON95 akan terus berada sekitar RM2.15 hingga RM2.30 dalam 5-6 bulan akan datang. Harga juga mungkin naik lagi.”
Beliau menambah penyelesaian kepada masalah ini ialah menetapkan harga siling bagi RON95 dan mengembalikan subsidi minyak.
“Harga RON95 boleh diturunkan kepada RM1.80 selitar dengan tambahan dviden RM3 bilion dari Petronas itu.
“Kita hanya perlukan RM5-RM6 bilion setahun untuk subsidi apabila harga naik melebihi RM1.80.
“Kalau saya menteri kewangan, saya akan kembalikan subsidi minyak.
“Kalau Najib kembalikan subsidi minyak, langkah itu akan menguntungkan rakyat dan beliau akan jadi popular.” – FMT