Sekali lagi politik pembangkang bergegar apabila Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali memberi amaran kepada pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Mahathir Mohamad agar tidak cuba menghentikan rundingan PKR dan Pas.
Tegas Azmin: “Saya nak ingatkan Dr Mahathir, Anwar adalah ketua umum kepada Pakatan Harapan. Beliau bukan sekadar ketua umum PKR
“Sebagai ketua umum, beliau berharap memberikan pandangan dan cadangan”.
Kenyataan Azmin ini seolah-olah membayangkan PKR tidak mengiktiraf keputusan yang diambil secara konsensus oleh PH sebelum ini menetapkan tiada lagi rundingan antara gabungan itu dan Pas. Kerusi yang akan dipertandingkan pada pilihan raya umum (PRU) ke 14 pula akan dibahagi-bahagikan antara sesama komponen PH.
Strategi bercelaru
Sebaliknya, Azmin membayangkan Pas akan bersekutu dengan PKR pada saat-saat akhir dan terdapat kerusi-kerusi yang akan diberikan kepada Pas. Calon-calon yang telah disediakan di peringkat PH akan diganti dengan calon dari Pas.
Bagi kebanyakan pimpinan pembangkang, strategi seperti itu bukan sahaja menimbulkan kemarahan komponen PH tetapi akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan dan mood untuk berubah akan punah pada beberapa minggu sebelum PRU.
Adakah Azmin tidak menyedarinya atau cuba menyusahkan PH? Sekiranya beliau pemimpin tulen dan menghormati rakan-rakan dalam PH maka beliau boleh membayangkan sendiri senario ‘bos besar’ Anwar hadir dalam mesyuarat PH. Terdapat empat parti. DAP, Bersatu dan Amanah yang menolak rundingan dengan Pas tetapi Anwar berkeras mahukannya. Selepas diundi maka keputusan 3 – 1. Adakah PKR menang?
Jika tidak, maka Anwar tentunya wajib menghormati keputusan mesyuarat. Semua pimpinan yang mengaku mereka demokrat wajib mengikut kata putus majoriti. Jika sikap seperti yang ditonjolkan Azmin mahu dipraktikkan maka PKR wajib meninggalkan PH lalu bergabung dengan Pas dan mengulangi keputusan PRU paling buruk pada 2004, kalah kesemua kerusi kecuali parlimen Permatang Pauh.
Kartel patut jadi CIA
Pemimpin komponen PH boleh menerima idea berunding Azmin yang mendapat mandat daripada Anwar jika Azmin pada mata mereka meyakinkan. Tetapi Azmin perlulah bijak seperti Najib.
Najib mendekati Pas bukan bermodalkan mandat Umno tetapi dengan kebijaksanaan. Balaci-balaci beliau memegang tengkuk pemimpin Pas yang anti Anwar. Sejak 1999, banyak pimpinan Pas yang membenci Anwar sehingga ke tahap percaya Ketua Umum PKR itu meliwat tetapi mereka tidak berani menyanggah presiden ketika itu, Datuk Fadzil Noor dan kemudiannya Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas.
Namun dalam kempen pilihan raya, misalnya pada PRU 2013, pemimpin dan jentera Pas yang tidak sebulu dengan golongan profesional parti bertindak menggagalkan kempen. Contohnya, Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu yang bertanding di Kedah pada PRU 13 tidak disokong oleh sebahagian jentera Pas kerana dianggap pro Anwar. Mat Sabu kalah.
Mereka inilah yang didekati balaci Najib. Puak anti Anwar ini membawa presiden Hj Hadi jauh daripada Pakatan Rakyat (PR) dan akhirnya memusuhi DAP.
Sekiranya Azmin yang mempunyai pasukan politik khusus dinamakan geng kartel mampu menyusup ke dalam Pas dan melakukan konspirasi yang seperti dilakukan balaci Najib maka tentunya Tun Mahathir pun akan memberi peluang kepada beliau untuk meneruskan rundingan dengan Pas.
Malangnya kartel yang dibiayai Azmin hanya ‘bertaring’ melaksanakan tugas menyerang Rafizi, Saifudin Nasution dan pemimpin dalam pasukan Presiden Dr Wan Azizah. Apa punya selekeh pasukan politik Azmin, menyerang rakan dalam rumah sendiri?
Tentulah pada mata Tun yang mempunyai kemahiran politik tinggi, Azmin kelihatan seperti budak berhingus yang tidak tahu apa-apa percaturan politik. Oleh itu, dengan mudah Tun menamatkan rundingan antara PH dan Pas.
Belajar tak dapat ijazah
Analogi mudah Azmin ibarat anak yang dihantar belajar ke sebuah universiti. Selepas empat tahun beliau tidak keluar dengan segulung ijazah. Apabila ibu bapa bertanya kepada universiti tersebut maka penjelasannya, mahasiswa yang dirujuk itu tidak pernah pun belajar di universiti terbabit.
Hal inilah yang berlaku. Sejak PR hancur pada 2015 Azmin tidak pernah pun bertemu Hj Hadi untuk membincangkan kerjasama politik PKR – Pas secara rasmi, apatah lagi rundingan kerusi pilihan raya.
Pemimpin yang ditemui ialah Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man yang tidak boleh membuat keputusan. Tentulah tidak ada apa-apa kemajuan dalam rundingan itu.
Oleh itu, untuk apakah Azmin terus marah-marah jika usahanya mahu dihentikan oleh Tun Mahathir dan pemimpin komponen PH lainnya? Adakah kerana maruah? Kerusi MB Selangor? Atau Azmin mempunyai cita-cita ingin hijack kepimpinan PH dan memaksa semua pimpinan lain tunduk kepada kemahuannya?
Jika bukan itu pilihan Azmin maka berlapang dadalah rundingan PKR – Pas telah berakhir. Sekiranya Anwar di luar penjara sekali pun beliau telah lama menerima kenyataan tersebut kerana sepanjang di dalam PR, tidak pernah dilihat Anwar memaksa komponen lainnya mengikut telunjuk beliau.
_____________________________________________________________________________
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suarapakatandaily