Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan PM Najib Razak yang tidak terikat dengan Jawatankuasa Khas Reformasi Pilihanraya dalam menentukan tarikh pembubaran Dewan Rakyat sebagai menghina parlimen.
“Saya kesal dengan kenyataan Najib menyebut pilihanraya boleh diadakan bila-bila masa dan tidak terikat dengan tugas jawatankuasa khas reformasi pilihanraya. Kenyataan ini menghina Parlimen. Sepatutnya jawatankuasa yang dilantik Parlimen perlu menyelesaikan tugas mereka dan mengemukakan cadangan mengatasi masalah pengendalian pilihanraya terlebih dahulu sebelum pilihanraya diadakan,” katanya.
Mendakwa semua pihak sama ada SPR dan pemimpin BN telah mengakui pilihanraya di Malaysia tidak bersih, Mahfuz mendesak kerajaan agar menghormati jawatankuasa yang ditubuhkan oleh mereka sendiri. Dalam pada itu Mahfuz turut mempertikaikan sikap Menteri Di Jabatan Perdama Menteri Nazri Aziz yang telah mendahulu Parlimen dalam menentukan kuota jawatankuasa berkenaan serta siapa yang akan dilantik menjadi pengerusi.
“Nazri tidak boleh meletakkan Menteri sebagai pengerusi. Kerajaan yang sedang dipertikaikan dalam hal ini kerana berlaku kecurangan di SPR, mengapa pula menteri kerajaan diletakkan sebagai pengerusi?” soalnya.
Mahfuz juga kurang senang dengan penubuhan jawatankuasa khas yang terhad ruang lingkupnya. Bagi beliau suruhanjaya diraja lebih tepat dalam mengendalikan isu besar seperti itu.
“Jawatankuasa khas hanya akan mengundang ahli parlimen menganggotainya. Sedangkan pilihanraya ini milik semua. Sepatutnya suruhanjaya diraja dibentuk dan memanggil semua pihak yang terlibat seperti NGO dan sebagainya.
“Suruhanjaya di raja boleh dianggotai oleh pelbagai pihak, termasuklah pakar perlembagaan dan majlis peguam,” kata beliau.