Kenaikan harga barang yang mendadak sejak 1 Ogos lalu semakin menyulitkan kehidupan rakyat biasa. Terutama golongan berpendapatan rendah atau sederhana rendah yang mempunyai ramai anak-anak.
Bagi Rani, 36 tahun, seorang suri rumah di Kepong, Kuala Lumpur yang mempunyai 3 anak sedang bersekolah, harga produk yang diimpot seperti mentega dan keju telah mengalami kenaikan mendadak sehingga beliau kurang menggunakan produk berkenaan untuk menyediakan makanan anak-anaknya.
Beliau memberi contoh mentega yang diimport yang pada Januari 2017 masih berharga RM8 tetapi kini RM10 iaitu kenaikan sebanyak 25%. Jem dari United Kingdam yang berharga RM9 beberapa bulan yang lalu kini berharga RM12 iaitu kenaikan sebanyak 33%.
“Bukankah ini menunjukkan nilai mata wang negara kita merosot?” tanya beliau
Rani turut mengadu barang makanan dalam tin seperti sardin dan kari ayam juga mengalami kenaikan sebanyak 80 sen sejak Januari lalu. Minuman dalam kotak 1 liter seperti minuman kacang soya telah mengalami kenaikan dari RM1.80/RM2.00 (bergantung kepada jenama) menjadi RM2.40. Malah barang seperti racun untuk membunuh serangga perosak telah dinaikkan harga sekurang-kurangnya sebanyak 50 sen untuk tin aerosol yang kecil.
Beliau menegaskan kenaikan harga untuk pelbagai jenis barang menyebabkan keluarganya terpaksa mengikat perut dengan ketat apabila membeli barang di kedai runcit.
Seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Arif, 70 tahun pula berkata kos sara hidup hari ini amat membebankan dan wang RM10 yang boleh membeli pelbagai keperluan harian sedekad lalu sudah menjadi tidak bernilai.
“Barang yang sedikit dulunya murah kini sudah jadi mahal. Misalnya minuman bijirin yang saya selalu beli tahun lalu berharga RM7.50 hari ini RM12.50. Sungguh mengejutkan, saya berhenti membelinya.
“Harga biskut buatan tempatan juga naik sebanyak 50 sen. Selain dari itu, sabun 3 ketul saya biasa beli berharga RM2 kini RM2.55 apabila saya pergi ke kedai runcit kelmarin.
“Harga naik gila-gila sejak 1 Ogos lalu kemudian naik sekali lagi pada 1 September baru-baru ini,” katanya yang berharap Pakatan Harapan (PH) akan memenangi pilihanraya umum ke 14 dan menunaikan janji untuk memansuhkan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan.
Bagi Ah Hing pula, seorang penjual mi di kawasan Segambut, 40 tahun, harga bahan yang beliau gunakan setiap hari mengalami kenaikan yang “amat gila”.
“Tahun lalu mi bulat warna perang ‘yee mee’ dalam satu bungkus besar berharga RM4 pada Januari lalu jadi RM4.70 dan pada 1 Julai naik lagi jadi RM5.80.
“Harga semua jenis bihun dan mi telah naik, oleh itu saya terpaksa naikkan harga makanan yang dijual oleh gerai saya,” ujar Ah Hing yang menekankan kenaikan harga minyak dan minyak masak menjadi faktor utama menyumbang kepada kenaikan harga barang kerana rakyat terpaksa membayar lebih untuk kos pengangkutan lori atau van pembekal yang membawa barangan tersebut.
“Sudah tiba masa untuk rakyat memberi mandat kepada Pakatan sebab kerajaan BN tidak lagi mampu mentadbir dengan sempurna dengan kenaikan kos sara hidup yang melambung tinggi.
“Saya berpendapat kerajaan BN sudah gagal melaksanakan tugas menjaga ekonomi rakyat dan justeru itu, tidak patut diberi peluang lagi dalam pilihan raya umum nanti,” katanya.