Pakatan Harapan (PH) percaya Sabah dan Sarawak berhak kepada reformasi struktural dan tata kelola baik yang berpaksikan Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan supaya segala potensi bumi, sumber dan tenaga dapat dijana dan dikembalikan kepada rakyatnya.
Bahkan, kedua-dua negeri di Malaysia Timur itu juga berhak kepada semangat federalisme berasaskan perpaduan dalam kepelbagaian, keadilan, ketelusan dan pertanggungjawaban.
Konsep Federalisme berasaskan Perkara-perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan wajib difahami, dihayati dan dihormati.
Demikian kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh presiden dan timbalan presiden PH dalam satu kenyataan bersama hari ini sempena Hari Malaysia.
“Pakatan Harapan berikrar untuk menyediakan pengagihan hak dan tanggungjawab dalam semua bidang dan institusi secara adil dan saksama antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” kata kenyataan itu.
Kata mereka, Pakatan Harapan beriltizam untuk membangun Bangsa Malaysia yang beridentiti nasional, berpaksi kepada nilai-nilai dikongsi bersama, bersatu-padu, kreatif dan inovatif, dan berdaya saing untuk berjuang demi negara buat menikmati Malaysia yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya.
“Bersama kita jayakan hasrat murni ini untuk melahirkan sebuah Persekutuan yang adil dan saksama demi kebaikan dan kesejahteraan seluruh rakyatnya,” kata kenyataan itu.
Hari Malaysia disambut setiap tahun pada tanggal 16 September.
Ia bertujuan menghidupkan memori bersejarah dan naratif perjuangan penubuhan sebuah Persekutuan Malaysia.
“Pakatan Harapan meraikan bersama seluruh rakyat Malaysia, penyatuan persekutuan yang merdeka lagi berdaulat, serta berpaksikan prinsip kebebasan dan keadilan, bagi menjamin kedamaian dan keharmonian, sejajar dengan Pemasyhuran Malaysia pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada detik penting itu,” katanya.
Namun setelah 54 tahun Malaysia dibentuk, soal besar yang menghantui sebahagian rakyat adalah, apakah cita-cita penyatuan dan perkongsian ini termasuk faedah dan pembangunan ekonomi yang adil di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, benar-benar wujud dan dikecapi bersama? soal mereka.
“Ataukah Sabah dan Sarawak terus-terusan tercicir dari arus pembangunan, sebaliknya dipermainkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan janji serta slogan molok, namun masih jauh dari disempurnakan?” soal mereka lagi.
Bahkan perbezaan pembangunan wilayah juga ketara di Semenanjung sendiri, di segi kesenjangan antara negeri-negeri pantai timur dan utara berbanding negeri pantai barat.
Hakikatnya, pembangunan infrastruktur, jaringan jalan raya, elektrik dan kemudahan awam lain seperti pendidikan dan kesihatan khasnya di Sabah dan Sarawak, masih jauh ketinggalan khususnya bagi kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman berbanding negeri-negeri di Semenanjung, katanya.
“Ini berlaku akibat perlaksanaan polisi yang tidak menjamin keadilan pengagihan hasil kekayaan dan sumber negara, ditambah dengan pemusatan kuasa serta kepincangan tadbir-urus belanjawan pembangunan kerajaan persekutuan.
“Ini ditambah buruk lagi dengan pentadbiran yang sarat rasuah dan salah-guna kuasa,” kata mereka.
Semangat Persekutuan atau Federalisme dalam Perjanjian Malaysia 1963 tidak diiktiraf sepenuhnya sedangkan Perlembagaan Persekutuan memperakui bahawa Sabah dan Sarawak ialah wilayah federal yang khas dan merupakan rakan kongsi setara dengan Semenanjung Malaysia.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PH dan para timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.