Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran berkata, undi Melayu akan menjadi penentu kepada kejayaan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Menurut beliau, sokongan daripada kaum Cina dan India amat mencurah-curah dalam program-program yang dianjurkan DAP. Malah, katanya, ketika turun padang di kawasan-kawasan seperti Raub, Cameron Highlands di Pahang; Ipoh, Perak dan Kelang, Selangor, pengundi etnik Cina serta India tanpa segan silu memberitahu mereka telah bertekad akan menumbangkan BN dalam PRU 14.
“Mereka seringkali bertanya bilakah PRU akan diadakan kerana sudah tidak sabar menunggu. Selain itu, masyarakat Orang Asal di Cameron Highlands juga kelihatan menyokong kita.
“Dalam hal ini hanya pengundi Melayu, terutama mereka yang menetap di kampung-kampung nampaknya belum membuat keputusan untuk mengundi sama ada BN atau pun PH.
“Oleh itu, saya rasa pertemuan PM Najib dengan Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Theresa May (United Kingdom) baru-baru ini pasti akan ditonjolkan sebagai kejayaan terbesar PM Najib dengan tujuan meraih sokongan Melayu,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Bagaimanapun, menurut Manogaran, satu perkara yang harus dibawa kepada perhatian umum ialah kenapa Presiden Trump dan PM Najib tidak mengadakan sidang media bersama kerana ini adalah satu proktokol untuk lawatan dari ketua-ketua negara. Pengundi yang celik pasti tahu jawapannya.
“Selain daripada itu, apakah makna Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) melabur di Amerika Syarikat kononnya untuk membantu ekonomi negara itu?
“Adakah mereka perlukan bantuan daripada kita apabila mereka adalah negara kuasa besar Nombor 1 di dunia? Sepatutnya pencarum KWSP yang patut buat keputusan itu,” tambah Manogaran yang juga merasa hairan bahawa Malaysia akan membeli 50 kapal terbang baru dari Amerika Syarikat yang melibatkan kos lebih dari AS$10 bilion dalam 5 tahun yang akan datang sedangkan dalam tahun 2016 MAS telah mengurangkan sejumlah 6,000 orang pekerja.
Manogaran berpendapat, hasil lawatan Najib ialah kebarangkalian PRU14 akan diadakan hujung 2017 kerana publisiti dari lawatan itu perlu digunakan sebagai faktor penting dan utama untuk mempengaruhi pengundi Melayu.