Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menafikan dakwaan beliau pernah membayar sejumlah wang kepada pelobi Amerika Syarikat bagi tujuan mendapatkan slot perjumpaan dengan presiden negara itu, seperti didakwa Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
Sebaliknya, Dr Mahathir berkata kunjungan ke White House tidak pernah menjadi agenda utamanya, menyebabkan beliau hanya melawat AS pada 1984, 3 tahun selepas menjadi perdana menteri.
“Itu pun hanya secara sambilan semasa saya berada di Amerika Utara,” kata Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri dari 1981 hingga 2003.
“Saya utamakan lawatan ke negara-negara jiran anggota Asean, kemudian negara-negara kecil di lautan Pasifik, kemudian ke negara-negara Islam OIC dan akhirnya ke negara-negara Komanwel.
“Jadual saya tidak termasuk United States of America,” katanya dalam muat naik terkini di blognya.
Minggu lepas, Najib sekembalinya dari AS dalam lawatan kerja yang turut melibatkan pertemuan dengan Presiden Donald Trump, berkata Dr Mahathir pernah menggunakan timbalan menteri dalam negerinya Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk membuat bayaran “berjuta-juta” untuk berjumpa presiden AS George Bush pada 2002.
“Tetapi Mahathir tidak mendapat sambutan macam saya dengan Presiden Amerika Syarikat ke-45 Donald J Trump,” katanya ketika berucap kepada penyokong yang menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Sept.
Pertemuan Najib dengan Trump antara lain menyaksikan janji kerajaan Malaysia membeli pesawat Boeing daripada negara itu dengan nilai mencecah AS$20 bilion (RM80 bilion) dalam 5 tahun akan datang.
Lawatan Najib bagaimanapun diselubungi isu siasatan jenayah pihak berkuasa AS ke atas 1MDB, dan mengundang pelbagai kritikan daripada media AS yang turut mempersoalkan langkah rombongan Najib menginap di sebuah hotel milik Trump.
Dr Mahathir menafikan pernah membuat bayaran kepada pelobi Washington untuk bertemu Bush, seperti didakwa anak kepada arwah Megat Junid, Megat Fairouz.
“Saya tidak tahu benar atau tidak kenyataan ini… Yang saya tahu tidak ada arahan dari saya untuk lobi.
“Tak apalah Fairouz, anak sahabat saya nak cari makan,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata layanan yang diberikan kepadanya ketika melawat Washington pada 1984 turut melibatkan pelbagai sambutan dan kemudahan rasmi yang disediakan pentadbiran Presiden Ronald Reagan ketika itu.
Menurutnya, kerajaan AS menghantar pesawat khas presiden ke New York untuk membawa beliau dan isteri ke Washington, sebelum diterbangkan dengan helikopter rasmi ke bandar Washington.
“Saya disambut oleh pegawai tinggi Amerika Syarikat dan bermotor ke hotel Willard Washington DC. Pada masa itu Blair House, tempat penginapan tetamu kerajaan Amerika sedang diperbaiki,” katanya.
Dr Mahathir berkata kereta cermin gelap yang disediakan kepadanya dihias dengan bendera Malaysia dan AS, menyebabkan orang awam ketika itu keliru kerana kedua-dua bendera mempunyai jalur sama.
“Dengan itu ramailah penduduk Washington terkeliru dan memikir kereta-kereta ini membawa Presiden AS. Mereka melambai tangan sepanjang jalan.”
Dr Mahathir berkata pertemuannya dengan Reagan diadakan seperti mana kunjungan ketua kerajaan lain, di hadapan “fireplace” di White House, diiringi naib presiden ketika itu, George Bush Sr.
“Kemudian baru diadakan mesyuarat dua delegasi di bilik mesyuarat khas. Ini disusuli dengan makan tengahari dan press conference,” katanya yang turut mengepilkan video rasmi lawatan itu dalam simpanan kerajaan AS.
Sebaliknya, pendaratan Najib di lapangan terbang Washington hanya disambut oleh duta Malaysia, kata Dr Mahathir.
“Najib mengguna kereta Mercedes. Tidak ternampak kereta panjang yang diberi untuk lawatan Najib dan pertemuan dengan Trump hanya selama 30 minit. Tidak ada makan tengahari dan Press Conference,” katanya.
“Memandang bahawa masa perjumpaan begitu terhad iaitu hanya 30 minit, dan tawaran Najib kepada Trump begitu tinggi, berjumlah hampir RM100 bilion, kos yang ditanggung oleh Malaysia ialah sebanyak RM3.3 bilion satu minit.
“Ini boleh jadi satu rekod dunia,” tambah Dr Mahathir.
Sebelum ini, Najib berkata beliau dilayan mesra oleh Trump yang menganggapnya seorang “kawan”.
“Selepas pertemuan di bilik kabinet, pegawai protokol meminta Trump berjabat tangan dengan saya di luar pejabatnya.
“Trump kata ‘Tidak, saya mahu mengiringi beliau ke kereta’ dan pegawai protokol berkata kereta saya di bawah tanah, dan Trump berkata ‘tidak mengapa, beliau kawan saya’,” kata Najib.
Dr Mahathir bagaimanapun berkata layanan yang diberikan kepada Najib “adalah yang terburuk sekali” berbanding lawatan rasmi pertama oleh ketua kerajaan ke White House.
“Mengikut laporan akhbar dan media Amerika layanan terhadap Najib adalah seperti layanan terhadap ‘pariah’,” katanya. – FMT