Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir yang turun padang mengutip sampah di daerah Kampar baru-baru ini.
Bagaimanapun, Amanah mempertikaikan gimik MB Zambry memandu lori sampah Majlis Perbandaran Kampar (MPK) tersebut, yang memerlukan lesen dan kemahiran bersesuaian mengendalikannya.
Setiausaha Amanah Perak, Salman Saleh berkata, sekiranya Zambry tidak mempunyai lesen dan kemahiran memandu maka gimik tersebut membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Banyak pihak tertanya-tanya adakah Datuk Seri Zambry mempunyai Lesen Kelas ‘E’ dan Lesen Kelas GDL (E) yang membolehkannya membawa kenderaan berat BTM melebihi 7500 kilogram?
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengenakan kompaun bagi kesalahan memandu atau menunggang tanpa lesen atau lesen tamat tempoh yang tertakluk mengikut Seksyen 26(1) Akta JPJ 1987. Adakah Dato’ Seri Zambry sedar akibatnya kerana membawa kenderaan berat jika tidak mempunyai Lesen Kelas GDL (E) dan ianya merupakan satu kesalahan yang serius?
“AMANAH Perak menasihatkan Datuk Seri Zambry agar mematuhi peraturan jalan raya. Beliau sepatutnya menunjukkan contoh teladan yang baik walaupun sedang sibuk menaikkan rating popularitinya menjelang Pilihan Raya Umum yang semakin hampir.
“Selain itu, kami juga mengharapkan agar pihak JPJ dapat memantau keadaan ini agar keselamatan pengguna jalan raya yang lain terjamin,” kata beliau dalam satu kenyataan.