Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub menegaskan beliau tidak akan lari walaupun kalah kepada Datuk Nur Jazlan Mohammad pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu di Parlimen Pulai.
“Selama ini saya berkhidmat untuk masyarakat di Parlimen ini (Pulai) dan saya akan terus melawan sehingga kemenangan menjadi milik rakyat di Parlimen ini.
“Saya tidak pernah lari dari Pulai walaupun saya kalah sebelum ini tapi kena ingat saya tidak pernah berganjak untuk terus berjuang di Parlimen Pulai ini bagi membawa arus perubahan rakyat dan sekaligus kita akan membawa impian rakyat mahu menghapuskan GST serta pelbagai perkara yang membebankan,” kata Salahuddin dalam ucapan beliau di program Santai Kedai Kopi baru-baru ini.
Ketika ditanya, Penasihat Pakatan Harapan (PH) Kawasan Pulai itu berkata ini adalah pembayang awal yang menandakan beliau akan bertanding selain terus kekal di Parlimen Pulai dalam PRU14 yang akan datang.
“Segala keputusan tertakluk kepada konsesus PH Negeri mahu pun di peringkat Nasional dan apa yang saya nak jelaskan pada orang ramai adalah bahawa saya tidak pernah lari malah saya terus ada di Pulai ini bagi sedia berkhidmat kepada penduduk di sini.
“Pulai hari ini lain dengan dulu. Dulu kita tidak ada Datuk Osman Sapian, sekarang orang yang ada pengaruh seperti Datuk Osman sudah bersama-sama dengan kita bagi menggerakan kerja-kerja mendekati masyrakat bagi menawan Parlimen Pulai dan DUN-DUN di bawahnya,” katanya.
Sementara itu kepimpinan PH Pulai telah membariskan beberapa muka lama serta muka baru dalam pentadbiran dan struktur organisasi itu telah pun siap dibina bagi menghadapi sebarang tentangan serta dapat menggerakan jentera untuk berhadap dengan PRU14 yang akan datang. – MD