Wakil rakyat DAP Boo Cheng Hau menyeru Pakatan Harapan menjemput Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyertai gabungan pembangkang.
Adun Skudai itu berkata kepimpinan PH harus mengiktiraf kekuatan yang boleh PSM sumbangkan kepada pakatan itu.
“Kerja akar umbi PSM harus diiktiraf sebagai tambahan kekuatan PH berbanding pakar teori strategi yang berfikir dalam bilik berhawa dingin.
“Ketulenan kerja akar umbi mereka boleh menjadi satu lagi faktor kemenangan PH dalam kalangan golongan minoriti,” katanya dalam forum semalam melalui Facebook Live, yang turut menampilkan Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Pua dan Timbalan Ketua Amanah Johor Zuljkefle Ahmad.
Boo menambah PH perlu lenyapkan pandangan sesetengah pengundi yang melihat gabungan pembangkang itu menyerupai Barisan Nasional.
Pembantu Pengarah Pendidikan Politik DAP itu berkata parti pengasas PH perlu lebih memainkan peranan dalam perkara itu.
“PKR, DAP dan Amanah sebagai parti bukan berasaskan kaum harus menjadi kuasa yang menghubungkan semua parti berideologi lain agar PH boleh lebih diteirma semua rakyat.
“Pakatan Harapan tidak boleh bersaing dengan BN yang didominasi Umno dengan hanya menyasarkan sokongan orang Melayu tetapi mengabaikan sokongan daripada kawasan bandar dan minoriti,” katanya, bagi mewajarkan seruan kepada PH agar gabungan itu menarik kerjasama daripada pelbagai jenis parti.
Boo menambah kepimpinan PH harus pertimbangkan keahlian PSM dalam gabungan itu dengan mengambil kira tumpuan parti itu kepada pekerja estet India dan pekerja kolar biru lain.
“Sepertimana PH perlukan sokongan orang Melayu luar bandar dan peneroka Felda, gabungan itu juga perlu dapatkan sokongan dari semua pihak, termasuk pekerja estet India yang menjadi minoriti penentu di sesetengah kawasan.
“Usaha jangka panjang PKR untuk membantu pekerja estet dan pekerja kolar biru lain boleh menyuntik tenaga kepada akar umbi PH.”
DAP, PKR dan Amanah mengasaskan Pakatan Harapan pada September 2015 dan bersetuju untuk menerima PPBM, yang dipimpin bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai anggota ke-4 gabungan itu pada Mac lepas. – FMT