Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim mencabar menteri Umno supaya mengambil tindakan terhadap pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Zamihan Mat Zin kerana mengkritik Sultan Johor dengan kasar.
Perkembangan ini susulan laporan semalam di mana Zamihan mengkritik Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana mengarahkan seorang pengusaha dobi di Muar menghentikan dasar “orang Islam sahaja” bulan lepas.
Zaid berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom harus mengambil tindakan terhadap Zamihan.
“Kamu tidak boleh cakap sebegitu kepada raja….sekali pun kamu tidak bersetuju dengan mereka, kamu perlu tunjukkan rasa hormat,” katanya kepada FMT.
“Sama ada menteri atau Ketua Pengarah Jakim harus respon. Jika tidak, ia sangat memalukan kerana pertama sekali, menunjukkan kurang rasa hormat, dan kedua, menunjukkan kebodohan.
“Kamu tidak boleh bertolak ansur dengan kenyataan seperti itu daripada seorang penjawat awam.”
Zaid berkata, kenyataan Zamihan itu menunjukkan kebodohan kerana mendakwa orang bukan Islam dan orang Cina khususnya, tidak bersih kerana mereka membersihkan diri dengan kertas tandas selepas membuang air.
“Mengatakan orang Cina kotor hanya kerana mereka menggunakan kertas tandas satu kenyataan yang bodoh dan sangat memalukan.”
Dalam video yang terdedah kepada orang awam, Zamihan dirakamkan sebagai berkata orang Cina tidak membasuh diri selepas membuang air.
“Bagaimana tentang darah-darah haid mereka pada pakaian dalam mereka? Ada peluk anjing, ada dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi, kena pada pakaian.
“Itu semua sinonim dengan mereka,” katanya dalam kuliah agama di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam pada Ahad.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Maszlee Malik berkata kenyataan presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu menunjukkan dia sama sekali tidak menghormati sultan ketua Islam di Johor dan membuka laluan kepada ekstremisme dan polarisasi.
“Kenyataan Zamihan itu berdasarkan kepada tanggapan mengenai orang bukan Islam akibat kurangnya keterlibatan antara dia dan orang seumpamanya dengan orang bukan Islam,” katanya kepada FMT.
“Itu sama sekali bukan apa yang diajarkan Islam dalam Al-Quran atau pesan nabi.
“Saya khuatir Islam jenama Zamihan dan Aswaja yang cuba diajarkan akan pasti melemahkan wawasan ‘Bangsa Johor’ yang digalakkan oleh sultan.” – FMT