Barisan Nasional yang terdesak untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) ke 14 kini beralih menarik sokongan kaum India ketika undi kaum Cina diramal 80% akan memihak kepada Pakatan Harapan (PH).
Menurut Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran, pemujukan ke atas kaum India boleh dilihat melalui tindakan kerajaan BN memberi pelbagai ‘gula-gula’ berupa peruntukan, biasiswa, bantuan perniagaan dan sebagainya kepada kaum India menjelang PRU 14.
“Undi dari masyarakat Cina tidak lagi boleh diperolehi oleh BN. Oleh itu, mereka sedang mencuba nasib dengan masyarakat India.
“Namun kali ini walaupun masyarakat India akan menyokong BN tetapi yang menyokong PH lebih ramai, kira-kira 60%. Oleh kerana itu, PM Najib menekankan bahawa beliau adalah PM yang paling banyak sekali membantu masyarakat India,” kata Kulasegaran kepada Suara pakatan daily
Kulasegaran beranggapan PRU 14 mungkin dipanggil pada Mac 2018. Dan Najib, katanya, akan memberi pelbagai peruntukan segera kepada rakyat dalam pembentangan Bajet 2018, hujung Oktober ini.
“Pada masa ini, ramai orang sedang menunggu Belanjawan 2018 dibentangkan di Parlimen pada 27 Oktober ini.
“Tetapi hanya 14,000 orang sahaja yang dilaporkan telah memberi ‘feedback’ ataupun cadangan dalam laman web Belanjawan 2018 di mana orang ramai digesa memberi ‘feedback’ ataupun maklum balas mereka.
“Angka 14,000 itu adalah rendah kerana Belanjawan memberi kesan kepada semua golongan masyarakat.
“Cadangan rakyat yang bernas sekali ialah untuk Cukai Barangan dan Pekhidmatan dimansuhkan atau pun dikurangkan kepada kadar 3%. Harga minyak juga patut diturunkan. Saya berpendapat harga minyak adalah petunjuk untuk tarikh PRU14. Kalau harga minyak jatuh ke paras RM2 ke bawah untuk RON95, itulah masa PRU14 akan diadakan,” kata Kulasegaran.
Beliau berkata, semakin lama PRU14 ditunda maka makin kuat sokongan Melayu akan diperolehi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Walaupun PH kehilangan PAS, katanya, kekuatan PH kembali hebat dengan penyertaan PPBM. Ini bererti BN akan menghadapi cabaran yang amat sengit dalam pilihanraya umum kali ini.