Rasuah masih kebimbangan utama dalam kalangan pengundi di Ampang, kawasan majoriti Melayu, walaupun kempen anti DAP semakin rancak diadakan di negeri itu.
Pengundi juga mendapati sukar untuk mempercayai yang DAP menjadi ancaman kepada Melayu, Islam dan institusi diraja, berkata ia bukan satu isu kerana Perlembagaan Persekutuan menggariskan hak orang Melayu.
Penduduk Taman Melur, Zainal Ibrahim, 63, tidak percaya DAP akan mengambil alih kepimpinan negara, ugutan yang sering digunakan gabungan Barisan Nasional (BN), jika Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Itu hanya gimik politik untuk takutkan pengundi Melayu.
“Saya tahu kebanyakan pemimpin DAP ialah Cina, tetapi buat apa ada pemimpin Melayu kalau mereka rasuah,” katanya ketika ditemui di ceramah “Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Kampung Tasik Tambahan, Ampang malam tadi.
Satu kajian dijalankan dua ahli akademik terhadap kira-kira 1,943 penduduk Selangor mendapati kempen menentang DAP tidak begitu menjejaskan pengundi Melayu di itu.
Hanya 24% daripada jumlah keseluruhan penduduk yang dikaji percaya “jika PH menang PRU, DAP akan tadbir negara ini”.
Seorang lagi penduduk Ampang yang mahu dikenali sebagai Wahid, bekerja sebagai pemandu teksi berkata parti politik seperti Umno tidak lagi boleh menggunakan isu kaum, kerana pengundi sekarang tahu mana betul, mana salah.
“Saya tidak takut DAP, kerana kami ada Artikel 153 dalam perlembagaan, Melayu akan jadi ketua, ini isu remeh yang tidak patut dibangkitkan langsung.
“Apa yang pengundi hendak tahu ialah bagaimana anda selesaikan isu ekonomi. Ya, perdana menteri kata ekonomi kita sedang berkembang, tapi saya tak rasa pun.
“Zaman sekarang, apa yang boleh dibeli dengan RM50? Anak saya gajinya RM5,000 dan dia masih tidak mampu beli rumah,” kata Wahid.
Pada PRU13, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin daripada PKR menang kawasan itu dengan majoriti lebih 13,000 menewaskan calon Umno, Rozaidah Talib. Kawasan itu mempunyai 55% pengundi Melayu, diikuti Cina 34% dan India 10%.
Mohamad Khair, 55, berkata walaupun DAP didominasi oleh pemimpin Cina, objektif parti itu hanya untuk selamatkan negara daripada pentadbiran yang teruk.
Beliau menyalahkan situasi semasa dalam negara – pengurusan kewangan yang teruk dan ekonomi lembap – hinggalah kepada rasuah.
“Ia tidak ada kena mengena dengan bangsa. Semuanya kerana rasuah. Saya tidak nampak kenapa kita patut bimbang tentang Cina jadi ketua bila Melayu sendiri pun rasuah,” katanya, menyentuh mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, berbilion ringgit hilang menerusi 1MDB dan rakyat terpaksa membayarnya menerusi cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Firdaus Baharuddin, 43, dari Taman Kosas berkata tidak ramai pun pemimpin DAP yang memegang jawatan tinggi dalam barisan majlis presiden PH.
“Jadi kenapa Umno kata DAP akan ketuai negara jika PH menang PRU14?
“Dr Mahathir yang ketuai PH. Malah jika DAP bertanding di 75 kerusi, mereka tidak akan ada majoriti untuk membentuk kerajaan,” katanya.
PAS dan Umno melancarkan serangan terhadap DAP, melabelnya sebagai parti majoriti Cina yang anti Islam dan anti Melayu.
Umno berharap untuk mewujudkan tanggapan dalam kalangan Melayu yang empat parti PH diketuai oleh DAP, memainkan elemen takut jika diperintah oleh Cina.
PAS juga menambah lagi kecaman terhadap DAP selepas parti itu membantah rang undang-undang dibawa PAS ke Parlimen untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah.
Antara penceramah malam tadi ialah Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Kota Raja daripada Amanah Dr Siti Mariah Mahmud, Tony Pua (DAP) dan Zuraidah yang menggesa orang ramai datang ke himpunan anti kleptokrasi di Petaling Jaya esok.
Himpunan itu mengakhiri jelajah ceramah PH di seluruh negara, dan akan diadakan di padang Jalan Timur bermula 4 petang hingga 11 malam. – TMI