Sehari sebelum himpunan ‘Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ rakyat di negara ini perlu tahu tujuan sebenar demonstrasi tersebut dianjurkan.
Jauh daripada tujuan himpunan Fastaqim 2.0 yang dianjurkan Pas mengumpul 50,000 peserta, himpunan anti-kleptokrasi tersebut dibuat bukan untuk mengukur kekuatan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya ingin memberi kesedaran kepada rakyat bahawa negara akan miskin jika BN dibenarkan berkuasa selepas pilihan raya umum (PRU) ke 14 kelak.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Ir Khlid Samad berkata, himpunan itu juga akan mendesak sesiapa yang terlibat menyamun wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapkan ke mahkamah.
“Tujuan himpunan di Padang Timur, Petaling Jaya, Sabtu, 14 Oktober esok adalah untuk menyedarkan rakyat isu utama PRU14 ialah 1MDB dan menggesa kerajaan BN supaya memberi jawapan yang telus berkenaan hal-ehwal kewangan 1MDB.
“Kita sebagai rakyat ingin tahu jawapan kerajaan mengenai laporan dari negara asing bahawa wang rakyat telah disonglap dan adakah Si Penyonglap itu akan dihadapkan ke mahkamah,” kata Khalid kepada Suara pakatan daily.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sebab-sebab perhimpunan tersebut diadakan selain daripada menekankan laporan Bank Dunia pada 9 Oktober 2017 yang memberi kritikan tajam terhadap situasi ekonomi Malaysia dilabelkan sebagai ‘parah’ pada angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar tidak lebih 5%.
Laporan Bank Dunia itu juga menyebut Thailand dan Indonesia sudah berada di hadapan Malaysia dalam daya saing ekonomi serantau.
“Ini adalah kerana imej negara pada masa ini tidak menyakinkan para pelabur asing kerana isu 1MDB yang sedang disiasat oleh beberapa negara di dunia termasuk Amerika Syarikat dan Switzerland.
“Selagi imej negara diragukan, selagi itulah nilai matawang kita akan lemah dan ini akan mengakibatkan semua jenis barang mengalami kenaikan harga. Justeru, rakyat pun terbeban,” sambung Khalid.
Beliau menyeru agar rakyat yang hadir dalam perhimpunan itu menjadi duta berkempen kepada rakan dan kaum keluarga agar tidak lagi mengundi BN pada PRU 14.
“BN tidak boleh dibiarkan menang. Kita wajar menyelamatkan negara dari terjerumus ke dalam gaung gelap. Kini beberapa buah kilang besar yang dulunya bertempat di Malaysia telah pindah ke negara jiran.
“Oleh itu, saya berharap perhimpunan Sabtu ini akan memberi satu daya kuasa kepada usaha kami untuk menyedarkan rakyat tentang situasi negara hari ini kerana berita yang telus dan benar sukar diperolehi oleh rakyat yang tidak celik komputer atau pun rakyat yang malas mahu tahu,” kata Khalid lagi.